Kumpulan gadis sensasi Malaysia, DOLLA, terus mengukuhkan kedudukan mereka dalam industri muzik tempatan dengan pelancaran single terbaharu berjudul “Question”, yang dilancarkan hari ini.
Lagu pop bertenaga ini menjadi simbol kematangan DOLLA bukan sahaja dari segi muzik, tetapi juga dalam penghayatan emosi dan mesej yang disampaikan.
Single ini ditulis oleh Justin Seow, Kuizz, Aziz Harun, bersama ahli DOLLA sendiri Tabby, Sabronzo, dan Angel. Ia menampilkan gabungan melodi pop yang segar, lirik jujur serta vokal yang lebih matang dan berjiwa.
Dihasil dan digubah oleh Justin Seow serta Kuizz, lagu ini mengekalkan identiti pop DOLLA sambil memperlihatkan sisi yang lebih mendalam dan penuh keinsafan. Ia menggambarkan transformasi muzik DOLLA yang kini lebih berani bereksperimen dan matang dari segi penyampaian.

Tabby, anggota DOLLA, menjelaskan bahawa “Question” mengajak pendengar menyelami konflik dalaman selepas dikhianati. Ia bukan sekadar berkisar tentang kecurangan pasangan, tetapi juga menekankan keberanian untuk berdepan dengan diri sendiri dan menerima perasaan sebenar dengan jujur.
“Lagu ini tentang berdepan dengan pasangan yang curang, tetapi pada intinya ia tentang berdepan dengan perasaan sendiri. Ia tentang membenarkan diri untuk rasa sedih dan terdedah, untuk jujur dengan emosi tanpa menyembunyikannya,”
“Kami menerima demo yang sangat menarik daripada Kuizz dan Justin dengan korus yang begitu ‘catchy’. Kami mahukan sesuatu yang mudah dikaitkan oleh pendengar, jadi kami ubah sedikit bahagian instrumental dan lirik agar lebih jujur secara emosi,” katanya.

Selain muziknya, “Question” turut menonjol menerusi koreografi yang dinamik dan bertenaga hasil sentuhan Akkaraphol Prompen, koreografer berbakat dari Thailand.
“Gaya gerakannya feminin dengan formasi yang unik dan peralihan yang menarik. Kami mahu ia kelihatan yakin, tetapi masih menyeronokkan. Prosesnya sangat kolaboratif dan kami juga beri ruang kepada Earth-E untuk menyerlah dengan gayanya sendiri,” ujar Sabronzo.
Muzik video rasmi “Question” pula hadir dengan konsep diner retro yang menyeronokkan, dirakam di Fowlboys, The Campus, dan secara rasmi dilancarkan di The Campus, Ampang dalam satu acara pelancaran yang turut dihadiri wakil media serta peminat terpilih.
“Kami pilih tema retro kerana ia menyeronokkan dan berani. Penggambaran agak mencabar sebab dibuat di luar waktu operasi, tapi hasilnya sangat memuaskan! Kali ini kami juga tampil dengan pelakon lelaki yang berperanan sebagai teman lelaki kami yang curang, dan video ini menunjukkan sisi kami yang lebih tegas dan berani,” kongsi Angel.

Visual yang memukau serta gaya persembahan yang berani menjadikan “Question” bukan sekadar lagu pop biasa, tetapi simbol kepada kekuatan dan pemberdayaan diri.
Selepas pelancaran single ini, DOLLA bersiap sedia melangkah ke tahun 2026 dengan lebih besar dan bermakna.
Peminat juga boleh menantikan kemunculan DOLLA di konsert ‘Good Girls Gone Bad’ yang bakal berlangsung pada 6 Disember 2025, menjanjikan persembahan penuh tenaga dan emosi yang mencerminkan kematangan sebenar kumpulan ini.




