Que Haidar Umumkan Penceraian dengan Linda Jasmine Selepas 15 Tahun Berkahwin
- oleh Mohd Indera
- 4 minggu lalu
Pelakon dan pengarah terkenal Que Haidar, 45, mengumumkan bahawa beliau dan isterinya, Linda Jasmine, 52, telah bercerai pada 2 Julai lalu setelah 15 tahun mendirikan rumah tangga.
Perkara tersebut dikongsi oleh Que ketika ditemui di Malam Kemuncak Anugerah Seri Angkasa (ASA2024) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) semalam.
“Allahuakbar, Alhamdulillah itu yang Allah aturkan,” kata Que mengenai keputusan mereka untuk berpisah.
“Saya minta semua doakan yang terbaik untuk saya dan Linda. Kami masih baik, tiada siapa yang mahu bercerai, namun mungkin ini jalan terbaik bagi kami berdua. Kami masih berkawan demi anak-anak,” jelasnya.
Menurut Que, beliau dan Linda memilih untuk tidak menghebahkan isu rumah tangga mereka kerana merasakan hal sebegitu lebih baik disimpan secara peribadi.
“Hal rumah tangga adalah hal peribadi, dan perkara seperti ini bukanlah untuk dibanggakan. Lebih baik kami simpan sendiri dan doakan yang terbaik untuk semua pihak,” tambah Que.
Que turut menyatakan bahawa walaupun sudah berpisah, hubungan mereka masih sangat baik dan saling menyokong antara satu sama lain.
“Kami masih memberikan sokongan antara satu sama lain untuk yang terbaik bagi anak-anak. Tiada perkara yang perlu diperbesar-besarkan. Alhamdulillah, anak-anak juga menerima keadaan ini dengan matang tanpa perbalahan,” katanya lagi.
Que dan Linda mendirikan rumah tangga pada 14 Februari 2009. Mereka dikurniakan dua anak perempuan, Tengku Ratu Haidar, 15, dan Tengku Cleopatra Haidar, 12.
Linda juga mempunyai seorang anak lelaki daripada perkahwinan terdahulunya, Qalif Khan, yang kini berusia 24 tahun.
Berakhirnya perkahwinan Que dan Linda selepas lebih satu dekad berumah tangga menjadi satu lagi contoh pasangan selebriti yang memilih jalan berdamai untuk kebahagiaan bersama, khususnya buat anak-anak yang tetap menjadi keutamaan mereka.