Qi Razali, Sweet Qismina Menyinar, Babah Cipta Sejarah Di FFM34
- oleh MDaily Editor
- 2 Nov 2025 12:17 pm
Pelakon Qi Razali dan Sweet Qismina mencipta sejarah tersendiri apabila masing-masing membawa pulang kemenangan besar menerusi filem Babah pada Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) yang berlangsung penuh gemilang di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media, malam tadi.
Diarahkan oleh Mohd Shah Faizul, Babah menyentuh hubungan antara ayah dan anak, kisah cinta, kehilangan dan luka yang tidak mudah sembuh.
Dalam suasana industri yang dipenuhi filem aksi dan seram, Babah muncul sebagai karya yang menyentuh hati dan mengingatkan penonton kepada erti sebenar kasih keluarga.
Mengulas kemenangan itu, Qi yang jelas terharu menyifatkannya filem tersebut membawa nilai kemanusiaan yang tinggi dan menggambarkan kejujuran dalam penceritaan.

“Babah adalah naskhah yang jujur, ini bukan filem aksi atau seram. Ini adalah filem kekeluargaan yang menceritakan perasaan seorang bapa yang tidak boleh bercakap dan pekak.
“Bagi saya, kemenangan ini bukanlah kejayaan saya seorang. Sebaliknya, kejayaan seluruh pasukan. Banyak yang saya pelajari daripada seorang bapa.
“Syukur Alhamdulillah, terima kasih kepada semua pihak yang terbabit dengan filem Babah. Kemenangan ini untuk semua Babah di luar sana… Semua Babah hebat,” katanya.
Sementara itu, Sweet Qismina yang tampil anggun di pentas, mengakui tidak menyangka akan diumumkan sebagai pemenang.

“Syukur ya Allah, terima kasih kepada FFM34, juri dan seluruh produksi filem Babah. Ini trofi pertama saya sejak bergelar pelakon selepas dua dekad.
“Selepas ini, saya akan menjaga kualiti kerja dan memelihara gelaran Pelakon Wanita Terbaik ini dengan baik.
“Kejayaan ini juga saya kongsi bersama keluarga terutama ibu dan suami yang banyak menyokong kerjaya seni,” katanya.
Lebih membanggakan, Babah bukan sekadar mengungguli kategori lakonan dan penulisan, tetapi turut diangkat sebagai Filem Terbaik FFM34, menjadikannya naskhah paling dominan dengan enam kemenangan utama termasuk Pengarah Harapan (Mohd Shah Faizul), Lakon Layar Terbaik (Wan Rafiq), Cerita Asal Terbaik (Nadia Nadzri) serta Dana Kandungan Kreatif (DKD) bernilai RM1 juta daripada Kementerian Komunikasi.
Dalam kategori lain, filem aksi Blood Brothers: Bara Naga terbitan Skop Productions turut menyerlah apabila meraih empat anugerah utama, termasuk Pengarah Terbaik (Syafiq Yusof & Abhilash Chandra), Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Syafiq Kyle & Syazwan Zulkifly), Sinematografi Terbaik (Nicholas Chin) dan Lagu Tema Terbaik (Bara Jiwa).
Filem ini turut dianugerahkan Filem Box Office selepas mencatat kutipan luar biasa RM73.64 juta, sekali gus memperkukuh kedudukan sinema aksi tempatan di pentas arus perdana.
Filem Soloz: Game Of Life turut mencuri perhatian apabila meraih Penyunting Terbaik, Skor Muzik Asal Terbaik dan Penataan Muzik Terbaik. Filem berinspirasikan dunia e-sukan itu membuka dimensi baharu dengan menggabungkan elemen teknologi dan kemanusiaan, memperlihatkan evolusi sinema tempatan ke arah penceritaan moden dan dinamik.
Malam penuh gemilang itu turut diraikan dengan penganugerahan khas kepada dua tokoh besar seni tanah air, Hassan Muthalib, yang menerima Anugerah Khas Karyawan, serta Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, penerima Anugerah Sepanjang Zaman atas lima dekad sumbangan beliau dalam dunia lakonan dan pengarahan.
Pelakon berpengalaman Ellie Suriaty Omar turut menerima Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi Telaga Suriram, manakala pelakon cilik Puteri Rafasya diangkat sebagai Pelakon Kanak-Kanak Terbaik.
Trofi Filem Terbaik disampaikan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, kepada Mohd Shah Faizul, disaksikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, serta tokoh industri Datuk Hans Isaac dan Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.
Dihoskan oleh Datuk Afdlin Shauki dan Che Puan Sarimah Ibrahim, FFM34 berlangsung dengan tema “Karya Kreatif, Sinema Dinamik” yang meraikan semangat kebangkitan industri filem Malaysia yang kini dilihat lebih matang, segar dan berani bereksperimen.
Sebanyak 41 filem cereka, 26 filem pendek dan 23 dokumentari bersaing, dengan pemenang setiap kategori membawa pulang RM5,000 dan trofi, manakala pemenang khas menerima RM10,000 serta fasiliti FINAS bernilai RM20,000 bagi kategori teknikal.
Kemenangan Babah dilihat sebagai simbol kebangkitan baharu sinema Malaysia, menggabungkan kekuatan tradisi penceritaan dengan kepekaan moden terhadap nilai kemanusiaan.
Dengan kemenangan bersejarah ini, Babah bukan sekadar filem terbaik tahun ini, tetapi menjadi lambang keindahan penceritaan manusia dan kekuatan sebenar sinema Malaysia.




