Qashwa Travel Terima Lesen PJH, Bukti Komitmen Sembilan Tahun Urus Umrah Cemerlang
- oleh MDaily Editor
- 30 Oct 2025 8:16 pm
Dari kiri: Pengurus Operasi, Qashwa Travel Sdn Bhd, Ustaz Wan Mohd Azam; Pengasas/Pengarah Urusan, Qashwa Travel Sdn Bhd, Ustaz Haji Nabil Haji Deraman.
Qashwa Travel Sdn Bhd mencipta sejarah tersendiri apabila diiktiraf sebagai salah satu daripada tiga syarikat baharu yang menerima Lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) daripada Lembaga Tabung Haji (TH) bagi musim haji 1447 Hijrah/2026 Masihi.
Pemilihan itu dibuat selepas syarikat berkenaan melalui proses penilaian dan audit menyeluruh bagi memastikan hanya pengendali yang berkelayakan, berintegriti serta berprestasi tinggi dibenarkan menguruskan jemaah haji.
Menurut Pengasas dan juga Pengarah Urusan Qashwa Travel, Ustaz Haji Nabil Haji Deraman, penganugerahan lesen tersebut merupakan pengiktirafan besar terhadap komitmen dan kecekapan syarikat dalam menguruskan jemaah umrah selama sembilan tahun.

Pengasas/Pengarah Urusan, Qashwa Travel Sdn Bhd, Ustaz Haji Nabil Haji Deraman.
“Alhamdulillah, selepas sembilan tahun kami menabur bakti dalam industri umrah, akhirnya Qashwa Travel layak dan terpilih menerima lesen PJH. Ini hasil penilaian dan audit ketat oleh Tabung Haji yang menilai prestasi kami sepanjang tempoh tersebut,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) 1447H/2026M di Mövenpick Hotel and Convention Centre KLIA, hari ini.
Beliau menjelaskan hanya tiga syarikat baharu diluluskan lesen PJH pada tahun ini selepas menepati semua kriteria termasuk rekod prestasi cemerlang, kedudukan kewangan kukuh dan tahap kepuasan jemaah yang tinggi.
“Antara syarat utama ialah perkhidmatan tanpa aduan, keupayaan kewangan stabil dan pasukan pengurusan berpengalaman. Mengurus haji tidak sama dengan umrah, namun dengan pengalaman sedia ada, insya-Allah kami akan memberikan khidmat terbaik kepada jemaah,” ujarnya.
Tambah beliau, kriteria ketat yang ditetapkan Tabung Haji membuktikan hanya pengelola berdaftar dan sah dibenarkan mengurus jemaah haji, sekali gus memberi keyakinan kepada masyarakat.
“Kami menyeru orang ramai supaya berhati-hati dan hanya memilih pengelola yang diiktiraf di bawah Tabung Haji,” tegasnya.

Pengasas/Pengarah Urusan, Qashwa Travel Sdn Bhd, Ustaz Haji Nabil Haji Deraman menerima Lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) daripada Lembaga Tabung Haji (TH) yang disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar.
Sejak mula beroperasi sembilan tahun lalu, Qashwa Travel telah menerbangkan lebih 10,000 jemaah umrah tanpa sebarang kegagalan, termasuk berjaya menyelesaikan urusan jemaah yang tertangguh semasa pandemik COVID-19.
“Ketika pandemik, pelbagai cabaran dihadapi, namun dengan izin Allah semua jemaah yang tertangguh akhirnya dapat berangkat ke Tanah Suci. Itu bukti kesungguhan kami dalam menunaikan amanah,” katanya.
Ustaz Haji Nabil turut mengajak jemaah yang menerima tawaran awal menunaikan haji agar mendaftar bersama Qashwa Travel bagi musim 1447H/2026M.
“Kami menyasarkan sekurang-kurangnya 50 jemaah awal untuk kumpulan pertama. Dengan pengalaman dan pasukan yang mantap, kami beriltizam memberi khidmat terbaik kepada tetamu Allah,” jelasnya.
Majlis penyerahan lesen itu disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar, dan turut dihadiri barisan pengurusan tertinggi Tabung Haji, wakil agensi haji serta pemain industri pelancongan Islam.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi 011-5505 3000 atau melayari laman web rasmi www.qashwatravel.my




