Ikuti Kami:

​Putting Everything In Its Proper Place: Bukan Sekadar Autobiografi, Tekankan Kepentingan Adab dan Integriti

​Putting Everything In Its Proper Place: Bukan Sekadar Autobiografi, Tekankan Kepentingan Adab dan Integriti

Di tengah keghairahan masyarakat mengejar kemajuan material dan kepantasan teknologi, sebuah naskhah falsafah baharu hadir sebagai peringatan penting tentang kepentingan memelihara adab, tertib, dan integriti dalam kehidupan seharian.

​Buku bertajuk Putting Everything in its Proper Place karya Kamarudin Abu Bakar, dilancarkan secara rasmi di Zezz Residence, Country Heights Damansara, hari ini.

Majlis tersebut menghimpunkan kelompok ilmuwan, cendekiawan, dan tokoh industri dalam satu ruang wacana yang membincangkan nasib insani dalam dunia moden.

​Naskhah ini bukanlah sebuah autobiografi biasa. Ia merupakan integrasi pemikiran penulis yang dikumpul selama 17 tahun melalui penulisan di laman Facebook, merangkumi pengalaman luas beliau dalam bidang teknologi maklumat (IT), perbankan, dan perakaunan.

​Menurut Kamarudin, intipati buku ini berakar umbi daripada gagasan tokoh pemikir besar, Tan Sri Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas, mengenai konsep keadilan.

​”Tajuk buku ini adalah ungkapan daripada Syed Naquib al-Attas yang bermaksud keadilan. Adil itu maknanya kita meletakkan sesuatu di tempatnya yang betul.

​”Dalam dunia hari ini, banyak perkara sudah tidak berada di tempatnya. Sebagai contoh mudah, songkok berharga RM20 diletak di kepala, manakala kasut berharga RM500 tetap di kaki. Itulah tertib dan kedudukan yang perlu difahami,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran tersebut.

​Penulis yang mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang perniagaan dan perakaunan ini turut menyentuh isu kritikal melibatkan sistem kewangan dan perbankan Islam.

Beliau menyifatkan sistem sedia ada, sama ada konvensional mahupun Islamik—sering kali mempunyai kaedah pengiraan yang serupa di sebalik nama kontrak yang berbeza.

​”Masalah paling besar bukan sekadar bunga (faedah), tetapi sistem yang membenarkan wang dicetak tanpa sandaran kukuh, yang akhirnya membawa kepada inflasi dan kejatuhan nilai mata wang. Ini bukan sekadar salah kerajaan, tetapi salah sistem,” tegas beliau.

​Kamarudin menekankan bahawa buku ini disasarkan khusus buat generasi muda sebagai panduan untuk mendepani masa depan yang semakin mencabar.

Beliau berharap pembaca dapat menilai semula cara mereka mencari rezeki dengan mengutamakan integriti berbanding jalan pintas.

​”Mesej paling besar adalah ilmu. Jangan menipu, jangan mengharap semata-mata pada subsidi, dan jangan sesekali terlibat dengan rasuah. Buat kerja dengan cara yang betul.

​”Kita perlu memupuk kepandaian yang memberi nilai kepada orang lain supaya mereka sanggup membayar untuk kepakaran kita,” katanya lagi.

​Majlis pelancaran buku terbitan Archiater Studio Sdn. Bhd. ini disempurnakan oleh dua adik-beradik penulis, Kapt. Mohd Kamil Abu Bakar dan Hj. Kamarul Zaman Abu Bakar.

Pemilihan ahli keluarga sebagai perasmi simbolik kepada tema buku yang meletakkan tanggungjawab peribadi dan akar keluarga sebagai tunjang utama makna kehidupan, mengatasi status atau simbolisme awam.

​Buku Putting Everything in its Proper Place kini boleh didapati melalui laman web rasmi Archiater Studio dengan harga RM70 dan akan mula diedarkan ke kedai-kedai buku terpilih dalam masa terdekat.

Foto Oleh: Sukie Hj Bebit.

Komen
Loading...