Putri & Phrince: Drama Baharu Viu Kupas Realiti Generasi Media Sosial
- oleh Mohd Indera
- 20 Aug 2025 6:10 pm

Viu Malaysia memperkenalkan drama remaja terbaharu bertajuk Putri & Phrince (Secrets at 17) yang bakal menemui penonton bermula 21 Ogos ini.
Siri 12 episod arahan pelakon dan pengarah terkenal, Liyana Jasmay, menyingkap realiti kehidupan generasi media sosial dengan mengangkat tema populariti, identiti berganda serta dilema moral dalam kalangan remaja.
Kisah ini berpusat di Institut Kasturi, sebuah sekolah kluster berprestasi tinggi, yang menyaksikan Putri Jasmine Dzulkarnain (Nesa Idrus) menjadi mangsa buli pelajar paling popular, Erica Dato’ Harris (Fara Nadiah).
Bertekad melawan, Putri mencipta identiti rahsia di media sosial sebagai @KarmaKween bagi membongkar sisi gelap golongan elit sekolah itu. Namun, kejayaan akaun tersebut membawa risiko besar apabila semakin banyak rahsia terbongkar dan konflik moral mula tercetus.
Siri ini turut menampilkan Lola (Khayrisyah Kemal), sahabat karib Putri, serta Phrince (Badron Munirah), pelajar baharu yang mencuri tumpuan.
Turut menjayakan drama ini ialah Nik Rifaie, Farihin Arnia dan Adriana Adnan yang pernah membintangi Seribu Nina serta Journal Sara-haeyo.
Menurut Liyana Jasmay, ilham watak utama lahir daripada pengalamannya ketika berada di Jakarta.
“Semasa di Jakarta, saya berkenalan dengan seorang jejaka bernama Gabriel yang sangat bijak dan kacak. Dari situ saya terfikir, wujudkah remaja zaman kini dengan personaliti sehebat itu? Dari situlah lahirnya karakter Phrince. Kemudian saya gabungkan dengan watak Putri kerana secara simboliknya, ‘Prince’ dan ‘Princess’ saling melengkapi,” jelasnya.
Katanya lagi, Putri & Phrince dihasilkan kerana beliau mahu mengetengahkan kisah remaja tempatan yang boleh dijadikan rujukan generasi muda.
“Semasa kecil, saya hanya dapat menonton siri atau filem remaja luar negara, terutamanya dari Amerika. Jadi saya mahu generasi hari ini mempunyai idola remaja tempatan yang dekat dengan kehidupan mereka. Jalan cerita dan personaliti watak dalam drama ini saya susun agar benar-benar mencerminkan realiti remaja masa kini,” katanya.
Pengarah Kreatif Viu Malaysia, Steven Lim, pula berkata drama ini menepati kehendak penonton muda.
“Putri & Phrince meneroka bagaimana identiti dan reputasi dibentuk dalam dunia di mana media sosial menjadi penentu segalanya, sambil menampilkan bakat baharu yang autentik. Siri ini diyakini mampu memberi kesan mendalam kepada generasi masa kini,” katanya.
Viu Malaysia sebelum ini berjaya mencuri perhatian dengan drama Gadis Masa yang menerima pencalonan di International Streaming Festival Global OTT Awards 2025, selain Abang Imam Minah Skuter yang mengekalkan kedudukan carta tontonan selama tiga minggu berturut-turut.
Penonton boleh menonton Putri & Phrince di aplikasi Viu yang boleh dimuat turun melalui App Store, Google Play, Huawei AppGallery, TV Pintar, atau layari laman rasmi www.viu.com.