Puteri Khareeza Hidupkan “Lumrah Cinta” Karya Syamel & Aepul Roza
- oleh Mohd Indera
- 1 minggu lalu

Penyanyi muda berbakat, Puteri Khareeza, terus melakar langkah gemilang dalam industri muzik tanah air apabila dipilih menghidupkan lagu balada berjudul Lumrah Cinta, hasil ciptaan Syamel dan Aepul Roza yang tersimpan hampir tujuh tahun.
Diterbitkan di bawah label Alternate Records, Lumrah Cinta bukan sekadar sebuah lagu cinta biasa. Ia membawa kisah tentang hati yang pernah terluka namun masih mampu membuka ruang untuk percaya kepada cinta semula.
Melalui persembahan vokal yang penuh penghayatan dan emosi, Puteri Khareeza berjaya menghidupkan semula karya ini dan memberikan nyawa baharu kepada melodi yang pernah terhenti.
Bagi Puteri Khareeza, peluang untuk menyampaikan lagu ini merupakan satu penghormatan besar dalam kerjayanya.
“Saya sangat teruja dan pada masa sama berasa gementar, kerana Syamel dan Aepul ialah nama besar yang saya kagumi. Mereka sangat profesional dan banyak membantu saya semasa proses rakaman,” katanya.
Tambah beliau, cabaran utama ketika merakamkan lagu ini adalah menyampaikan emosi sebenar pada setiap bait lirik, terutama apabila demo asalnya dirakam sendiri oleh Syamel.
“Tekanan itu memang ada, tapi saya ambil ia sebagai cabaran untuk memberikan yang terbaik. Alhamdulillah, proses rakaman hanya ambil masa dua jam kerana saya benar-benar hayati lirik dan melodi lagu ini,” jelasnya.
Menurut Aepul Roza, lagu ini pada asalnya dicipta Syamel sekitar tujuh tahun lalu. Namun mereka hanya menemukan penyanyi yang tepat tahun ini.
“Puteri Khareeza memberikan sentuhan yang kami cari. Dengan sedikit penyesuaian dari segi susunan muzik dan lirik, kami akhirnya berjaya hasilkan versi yang matang dan menyentuh hati,” kata Aepul.
Dengan vokal yang makin menyerlah dan karya yang sarat emosi, Lumrah Cinta menandakan satu lagi langkah besar Puteri Khareeza dalam perjalanan seninya.
Kini, Lumrah Cinta boleh didengari di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music dan YouTube Music.