PUBG MOBILE X Sonic: Gabungan Aksi, Kelajuan dan Nostalgia
- oleh MDaily Editor
- 7 Oct 2025 3:53 pm

Permainan mudah alih popular dunia, PUBG MOBILE, mengumumkan kolaborasi khas bersama francais legenda Sonic The Hedgehog, bagi membawa pengalaman permainan penuh aksi dan kelajuan kepada peminat di seluruh dunia.
Kolaborasi yang berlangsung dari 3 hingga 30 Oktober 2025 itu membolehkan pemain menyertai pengembaraan bertemakan Sonic serta mengumpul pelbagai item eksklusif dan kostum khas menerusi acara Lucky Spin.
Antara yang diperkenalkan termasuk Sonic Style Set dan Tails Style Set, dua kostum ikonik diinspirasikan daripada watak utama francais tersebut.
Pemain juga boleh melengkapkan diri dengan senjata khas Sonic Vector dan Cube Wispon Machete, selain kenderaan istimewa seperti Speedster Buggy, Team Sonic Speedboat dan Sonic Pan, yang menampilkan gaya dan kelajuan tersendiri di medan tempur.
Turut diperkenalkan ialah Team Sonic Parachute, Sonic Buddy, Super Sonic Buddy Set serta pelbagai barangan hiasan termasuk Power Sneakers Ornament, Sonic Ornament, dan Tails Ornament.
Pemain juga boleh menghias ruang maya mereka dengan item istimewa seperti SONIC THE HEDGEHOG Home Statue, Sonic Space Gift, dan Tails Space Gift.
Menurut kenyataan PUBG MOBILE, kolaborasi ini menggabungkan dunia moden PUBG MOBILE dengan nostalgia klasik Sonic The Hedgehog, selain meraikan dua generasi permainan video yang berbeza dalam satu pengalaman menarik.
“Kerjasama ini memberi peluang kepada pemain baharu dan lama untuk menikmati elemen aksi serta kelajuan, sambil menghargai legasi permainan video yang telah mencorakkan budaya global sejak lebih tiga dekad,” menurut kenyataan itu.
Sepanjang tempoh kolaborasi, pemain boleh memuat turun dan bermain PUBG MOBILE secara percuma melalui App Store dan Google Play Store untuk mendapatkan item eksklusif berinspirasikan Sonic.
PUBG MOBILE dibangunkan oleh LIGHTSPEED STUDIOS Tencent Games dan KRAFTON, Inc., serta merupakan adaptasi daripada permainan PUBG: BATTLEGROUNDS yang mencetus fenomena global sejak tahun 2017.
Sementara itu, Sonic The Hedgehog, watak ikonik keluaran SEGA, mula diperkenalkan pada tahun 1991 dan terus menjadi simbol kelajuan serta semangat juang dalam dunia permainan video. Sehingga kini, lebih 1.77 bilion salinan siri permainan Sonic telah dijual dan dimuat turun di seluruh dunia.