Ikuti Kami:

PUBG MOBILE School of Wonder Satukan E-Sukan dan Pendidikan

PUBG MOBILE School of Wonder Satukan E-Sukan dan Pendidikan

Program PUBG MOBILE School of Wonder membuktikan bahawa e-sukan bukan sekadar hiburan, malah mampu menjadi medium pendidikan kreatif apabila ia menggabungkan elemen permainan video dengan pembelajaran berasaskan kemahiran.

Inisiatif yang dilancarkan dengan kerjasama Kumpulan Penerbitan Pelangi ini menjadi platform baharu untuk memupuk minat, kemahiran kritikal dan daya kreativiti pelajar.

Bertempat di Wisma Pelangi, acara ini menarik hampir 200 pelajar sekolah menengah yang mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti interaktif serta pertandingan e-sukan.

Pengurus Negara (Malaysia) Tencent Games, Eugene Chin, berkata penggabungan e-sukan dengan pendidikan adalah pendekatan inovatif untuk memperkasa pelajar.

“Apabila kreativiti permainan video digabungkan dengan matlamat pendidikan yang jelas, kita mampu memberi inspirasi kepada generasi muda untuk berkembang dengan kemahiran relevan dalam era digital,” katanya.

Pengarah Eksekutif Kumpulan Penerbitan Pelangi, Sum Lih Kang, turut menyatakan kerjasama ini sebagai langkah transformasi pendidikan.

“Dengan memanfaatkan minat pelajar terhadap permainan video, kita dapat menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan, relevan dan efektif,” katanya.

Peserta dibahagikan kepada dua kumpulan; satu mengikuti sesi pembelajaran mengenai tabiat permainan video sihat, potensi kerjaya dalam industri e-sukan dan penerokaan mod penciptaan peta World of Wonder, di mana pelajar dapat menghasilkan peta PUBG MOBILE ciptaan sendiri.

Kumpulan kedua pula beraksi dalam kejohanan battle royale PUBG MOBILE yang sengit, sebelum lapan pasukan terbaik mara ke Peringkat Penyingkiran dan menentang lapan pasukan teratas daripada kumpulan pertama di perlawanan akhir.

Pelajar dari SMK Seksyen 7, Shah Alam muncul antara pemenang utama, membawa pulang sebahagian daripada hadiah wang tunai RM2,000, selain baucar buku dan barangan eksklusif.

School of Wonder diharap menjadi model baharu dalam menyatukan dunia e-sukan dan pendidikan, sekali gus membentuk pelajar yang kreatif, kritikal dan bersedia menghadapi masa depan.

Komen
Loading...