PU Riz Tegaskan Bayar Bil Adalah Tanggungjawab Suami, Bukan Perkara Luar Biasa
- oleh Mohd Indera
- 1 bulan lalu
Pendakwah selebriti dan usahawan terkenal, Haris Ismail, yang lebih dikenali sebagai PU Riz, menjawab persoalan mengenai tugas membayar bil dan perbelanjaan rumah, susulan video tular yang melibatkan isterinya, Noor Neelofa.
Video tersebut menunjukkan Neelofa mendedahkan bahawa dia tidak pernah membayar bil sejak berkahwin dengan Haris.
Menjawab soalan daripada wartawan pada satu majlis pelancaran, Haris menegaskan bahawa tugas membayar bil dan menanggung perbelanjaan rumah adalah tanggungjawab semua suami, bukan perkara luar biasa yang perlu dipersoalkan.
“Secara mudahnya, itu (bayar bil dan perbelanjaan rumah) adalah tanggungjawab semua lelaki dan suami, bukan saya seorang sahaja. Semua lelaki yang sudah berkahwin kena jaga nafkah yang perlu kita bagi. Itu adalah wajib,” jelas PU Riz.
Tambah Haris lagi, kewajipan seorang suami dalam menunaikan nafkah sama pentingnya seperti menunaikan solat lima waktu yang juga merupakan salah satu kewajipan bagi umat Islam.
“Sama seperti solat. Mungkin akan ada isteri yang berkata suaminya solat lima waktu. Bagi saya perkara itu bukanlah sesuatu yang perlu dibanggakan kerana semua umat Islam wajib solat,” tambahnya lagi.
Beliau ditemui pada majlis pelancaran koleksi baju jenama Kita & Co by Mimpi Kita yang berlangsung di TRX pada Isnin.
Haris yang kini semakin dikenali sebagai usahawan, turut menjelaskan bahawa fokus beliau dan Neelofa adalah untuk terus mendukung peranan mereka sebagai suami isteri, sambil meneruskan perjalanan karier masing-masing.