
Pusat Tuisyen PTTI terus memperkukuh komitmennya dalam memperkasa pendidikan anak bangsa apabila menyalurkan tajaan bernilai RM100,000 kepada pelajar-pelajar kurang berkemampuan di kawasan Parlimen Muar, Johor.
Tajaan ini disalurkan menerusi kerjasama bersama Ahli Parlimen Muar, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dan akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi membantu pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah.
Menerusi tajaan tersebut, pelajar terpilih akan menerima akses kepada kelas tuisyen dalam talian yang dikendalikan oleh tenaga pengajar berpengalaman PTTI serta sokongan pembelajaran lain yang dirangka untuk meningkatkan prestasi akademik mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman atau lebih dikenali sebagai Cikgu Farhana, berkata tajaan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan PTTI dalam memastikan pendidikan berkualiti dapat dinikmati oleh semua pelajar, tanpa mengira latar belakang.
“Kami di PTTI percaya bahawa pendidikan tidak seharusnya menjadi satu keistimewaan, tetapi satu keperluan. Dengan lebih 10 tahun pengalaman dan rekod membantu lebih 800,000 pelajar, kami yakin inisiatif ini mampu memberikan impak besar, terutama dalam subjek kritikal seperti Matematik, Fizik dan Kimia,” katanya.
Tambahnya, kejayaan 400 pelajar yang memperoleh straight A dalam SPM 2024 membuktikan keberkesanan teknik dan formula pembelajaran PTTI yang terbukti membantu pelajar menghadapi peperiksaan dengan lebih yakin.
Dalam majlis simbolik penyerahan tajaan yang berlangsung di IDCC Shah Alam sempena program Roadtour Skor A+ SPM PTTI, hampir 4,000 pelajar hadir menerima bimbingan secara bersemuka daripada tenaga pengajar PTTI.
YB Syed Saddiq turut hadir dan menyambut baik inisiatif berkenaan sambil menzahirkan penghargaan kepada PTTI atas komitmen mereka terhadap pembangunan pendidikan negara.
“Ini bukan sekadar tajaan tetapi pelaburan dalam masa depan anak-anak kita. Saya amat hargai usaha PTTI dalam merapatkan jurang pendidikan dan membantu mereka yang kurang bernasib baik,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa RM20,000 daripada jumlah tajaan tersebut akan disumbangkan semula dalam bentuk komputer riba dan tablet kepada pelajar Muar menjelang Hari Raya Aidiladha, menjadikan nilai keseluruhan bantuan mencecah RM120,000.
Program berkenaan turut dimeriahkan dengan kehadiran beberapa selebriti terkenal tanah air seperti Bella Astillah, MK K-Clique, Iman Troye, dan Nabila Razali yang memberikan kata-kata semangat dan motivasi kepada calon-calon SPM.
Melalui tajaan ini, PTTI membuktikan bahawa institusi pendidikan swasta mampu memainkan peranan penting dalam menyokong agenda pendidikan negara secara holistik dan inklusif.