Ikuti Kami:

PTTI Sasar 500 Pelajar Baharu di Cawangan Shah Alam

PTTI Sasar 500 Pelajar Baharu di Cawangan Shah Alam

Pusat Tuisyen PTTI menetapkan sasaran 500 pelajar baharu bagi cawangan terbarunya di Seksyen 3, Shah Alam, sekali gus mengukuhkan kedudukan sebagai penyedia pendidikan berinovasi di Malaysia.

Perasmian cawangan itu berlangsung meriah dengan kehadiran duta PTTI, penyanyi popular Iman Troye dan MK K-Clique, serta ikon selebriti Nabila Razali dan Zaki Yamani, yang juga bekas pelajar PTTI.

Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman atau lebih mesra dipanggil Cikgu Fana berkata pembukaan ini menandakan fasa baharu dalam usaha menjadikan pendidikan lebih menarik dan mampu milik untuk semua lapisan masyarakat.

“Matlamat kami adalah membawa konsep pembelajaran menyeronokkan, bukan sekadar akademik semata-mata. Dengan adanya ikon dan duta yang dekat di hati pelajar, kami mahu cipta suasana yang mendorong pelajar rasa belajar itu seronok,” katanya.

Cikgu Fana

Beliau menambah, kehadiran selebriti bukan hanya untuk tarikan tetapi sebagai medium inspirasi.

“Kami dapati ramai pelajar pada awalnya datang sebab nak jumpa ikon seperti MK atau Iman. Tetapi sebelum berjumpa, mereka kena hadir kelas dahulu. Dari situlah mereka mula rasa seronok belajar. Inilah suntikan motivasi yang kami mahukan,” jelasnya.

Menurut Cikgu Fana, sasaran 500 pelajar baharu adalah realistik memandangkan kapasiti cawangan Shah Alam adalah yang terbesar berbanding dua cawangan lain di Bangi dan Bandar Tun Razak, Cheras.

Terdahulu, PTTI mencatat dua rekod Malaysia Book of Records (MBOR) tahun lalu dalam kategori ‘Most SPM Grade A’s Obtained by a Tuition Centre’ dan Most Straight A’s SPM Students In a Tuition 2024′ sekaligus mengukuhkan reputasi sebagai penyedia pendidikan berprestasi tinggi.

Ikon PTTI, Zaki Yamani, mengakui ramai pelajar mudah terpengaruh dengan dunia media sosial sehingga mengabaikan pelajaran.

“Saya pernah lalui situasi itu. Masa umur 16 tahun saya dah ada kerjaya, tapi ibu dan keluarga selalu ingatkan pelajaran itu penting. Walaupun nak jadi penyanyi atau TikTokers, kita tetap perlukan ilmu. Itulah mesej saya kepada pelajar PTTI,” katanya.

Sementara itu, Nabila Razali menegaskan tugas selebriti bukan sekadar menjadi wajah promosi, sebaliknya mendidik.

“Ramai yang kenal Bella kerana muzik, tetapi melalui PTTI, kami nak tunjuk bahawa pendidikan boleh jadi seronok. Teknologi seperti ChatGPT memang membantu, tapi jangan jadikan alasan untuk tidak memahami ilmu. Kita tetap perlukan guru yang berkelayakan,” katanya.

Iman Troye pula berkata, peluang untuk terlibat dalam dunia pendidikan memberi kepuasan yang berbeza.

“Sebagai duta, saya gembira dapat bersama PTTI untuk mengubah persepsi pelajar. Belajar bukan membosankan, malah boleh jadi sesuatu yang fun. Saya harap lebih ramai pelajar di Shah Alam ambil peluang ini,” ujarnya.

MK K-Clique, yang sudah bersama PTTI sejak 2019, turut berkongsi pandangan.

“Kami lihat ramai pelajar PTTI berubah sikap, lebih fokus dan yakin. PTTI bukan sekadar tuisyen, tetapi platform untuk mereka bentuk masa depan,” katanya.

Sebagai tambahan, PTTI akan menganjurkan seminar ‘Shortcut Last Minute SPM’ secara percuma dari 27 hingga 30 bulan ini untuk calon-calon SPM di seluruh negara.

“Kami mahu semua pelajar, tidak kira latar belakang, dapat akses pendidikan berkualiti. Sebab itu seminar ini kami tawarkan secara percuma melalui laman web www.ptti.my,” jelas Sir Race.

Dengan pelbagai strategi dan pendekatan kreatif, PTTI optimis cawangan Shah Alam akan menjadi pusat pembelajaran berimpak tinggi, bukan sahaja di Lembah Klang tetapi di seluruh negara.

Komen
Loading...