Ikuti Kami:

PTTI Catat Rekod, Himpun Lebih 4,000 Pelajar SPM di Shah Alam

PTTI Catat Rekod, Himpun Lebih 4,000 Pelajar SPM di Shah Alam

Pusat Tuisyen dan Peningkatan Akademik terkenal, PTTI, sekali lagi mencipta sejarah apabila berjaya menghimpunkan lebih 4,000 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam program jelajah akademik Road Tour Mula Awal Skor A+ SPM PTTI yang berlangsung meriah di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam, hari ini.

Program mega yang turut mencatat kehadiran luar biasa lebih 3,000 pelajar dari Selangor sahaja, dianggap antara seminar akademik terbesar pernah dianjurkan oleh PTTI.

Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman menyifatkan kejayaan itu sebagai satu pencapaian membanggakan dan bukti komitmen tinggi dalam kalangan pelajar yang bakal menduduki SPM tahun ini.

“Ini adalah seminar tradisi kami yang dinamakan Road Tour Score A Plus SPM dan kali ini kehadiran amat luar biasa. Lebih 4,000 pelajar hadir termasuk lebih 3,000 dari Selangor sahaja. Ini adalah rekod terbesar kami setakat ini” katanya.

Tambahnya pendekatan PTTI bukan sekadar memberi pendedahan kepada teknik menjawab soalan tetapi turut memfokuskan subjek-subjek kritikal seperti Sains Tulen dan Matematik bagi membantu pelajar memperoleh keputusan cemerlang.

“Kami menyediakan teknik-teknik khas yang berkesan bagi membantu pelajar menguasai topik-topik sukar. Silibus pembelajaran kini semakin mencabar jadi persediaan awal amat penting” jelas beliau.

Sejak ditubuhkan lebih sedekad lalu PTTI terus menjadi pilihan utama ibu bapa dan pelajar melahirkan ribuan pelajar cemerlang.

Tahun ini sahaja sebanyak 400 pelajar SPM 2024 di bawah bimbingan PTTI berjaya memperoleh keputusan ‘straight A’ manakala keseluruhan pelajar PTTI mengumpul sebanyak 18,432 gred A.

Kejayaan luar biasa itu sekali gus melayakkan PTTI menerima dua pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori Most Straight A’s in a Tuition dan Most SPM Grade A’s Obtained by a Tuition.

Lebih menarik program yang sarat dengan ilmu dan motivasi ini turut diserikan dengan kehadiran Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta selebriti popular Bella Astillah yang tampil memberikan ucapan inspirasi kepada para pelajar.

Turut memeriahkan acara ialah barisan artis dan personaliti terkenal tanah air seperti MK K-Clique Iman Troye Zaki Yamani Nabila Razali Space Dollah dan Asyraf Khalid.

Program ini menjadi bukti bahawa usaha gigih dan bimbingan sistematik mampu mencetuskan perubahan besar dalam dunia pendidikan sekaligus memberi inspirasi kepada pelajar untuk terus mengejar kecemerlangan dalam SPM.

Komen
Loading...