Ikuti Kami:

PROTON Saga Serba Baharu Buktikan Kehebatan Kejuruteraan Tempatan

PROTON Saga Serba Baharu Buktikan Kehebatan Kejuruteraan Tempatan

PROTON hari ini memperkenalkan Saga Serba Baharu kepada media tempatan dalam satu sesi pra-tonton eksklusif di Pusat Kecemerlangan PROTON, Tanjong Malim, sekali gus membuktikan kemampuan tenaga kejuruteraan tempatan dalam membangunkan kenderaan pintar dan moden yang memenuhi piawaian global.

Model ini menandakan satu lagi pencapaian penting buat PROTON apabila keseluruhan proses pembangunan meliputi reka bentuk, kejuruteraan dan pengesahan dilaksanakan sepenuhnya oleh pasukan tempatan di Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) PROTON dengan sokongan teknikal daripada Geely.

Dibina di atas platform Advanced Modular Architecture (AMA) yang baharu, Saga Serba Baharu menampilkan seni bina elektronik termaju bagi menyokong integrasi teknologi sambungan pintar serta fungsi pemanduan separa autonomi.

Pemilikan penuh Hak Harta Intelek (IPR) bagi platform ini turut mengukuhkan kedudukan PROTON sebagai peneraju kejuruteraan automotif tempatan serta membuka potensi untuk menjadi hab pembangunan serantau dalam ekosistem kumpulan Geely.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Zhang Qiang berkata pembangunan Saga Serba Baharu mencerminkan kematangan dan kemampuan pasukan jurutera serta pereka Malaysia dalam menghasilkan kenderaan bertaraf dunia.

“Saga Serba Baharu ini bukan sekadar kesinambungan legasi sedan PROTON, tetapi simbol evolusi syarikat daripada pengeluar kereta nasional kepada inovator automotif global,”

“Ia juga hasil kerja keras dan dedikasi pasukan tempatan yang membangunkan model ini dari awal hingga siap, membuktikan bakat kejuruteraan Malaysia mampu berdiri setanding dengan pengeluar antarabangsa.” katanya.

Mengangkat tagline “Intelligence That Thrills”, Saga Serba Baharu hadir dengan 35 ciri baharu yang menggabungkan prestasi, keselamatan, kepintaran teknologi dan rekaan moden.

Zhang berkata platform baharu AMA memberikan fleksibiliti tinggi dalam pembangunan model masa depan, termasuk integrasi sistem elektronik generasi baharu yang direka untuk menyokong teknologi pintar dan pemanduan autonomi.

“Dengan pemilikan penuh IPR bagi platform ini, PROTON kini berupaya membina asas kukuh untuk masa depan industri automotif tempatan serta menjadikan Malaysia sebagai hab kejuruteraan penting dalam rantau ini,” katanya.

Model ini dikuasakan oleh enjin i-GT 1.5L bersama transmisi CVT yang menawarkan pemanduan lebih lancar dan efisien dengan penggunaan bahan api serendah 4.9L/100 km (MDC).

Sistem Stereng Berkuasa Elektrik (EPS) baharu pula meningkatkan ketepatan kawalan serta keselesaan ketika pemanduan.

Dari segi keselamatan, Saga Serba Baharu dilengkapi Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) Tahap 1 dengan sembilan fungsi keselamatan pintar termasuk Brek Kecemasan Berautonomi (AEB), Amaran Perlanggaran Hadapan (FCW) dan Bantuan Menukar Lorong (LCA).

Struktur badan PROTON Reinforced Safety Structure (RESS) yang menggunakan komponen Hot Press Forming (HPF) memastikan perlindungan maksimum kepada penumpang.

Sistem paparan dwi-skrin 16-inci yang menyokong Apple CarPlay® dan Android Auto™ tanpa wayar memperkukuh ciri pintar model ini, selain pelbagai fungsi tambahan seperti lampu utama automatik, Follow-Me-Home dan pelarasan aras lampu utama.

Penampilan luarannya menonjol dengan Lampu Utama Projektor LED Penuh, bar lampu belakang LED penuh serta gril bermotifkan Sulaman Songket yang melambangkan identiti nasional.

“Model ini direka oleh rakyat Malaysia, untuk rakyat Malaysia. Saga Serba Baharu menandakan permulaan baharu buat PROTON, dan kami berbangga untuk mempersembahkan hasil kerja tangan tempatan ini kepada dunia.” kata Zhang.

Menjelang pelancaran rasminya, PROTON bakal melancarkan kempen promosi nasional melibatkan kerjasama media, kandungan digital serta acara siaran langsung bagi memperkenalkan sedan kebanggaan negara yang kini tampil dengan wajah dan semangat baharu.

Untuk maklumat lanjut mengenai Saga Serba Baharu, layari www.proton.com atau ikuti @ProtonCarsOfficial di semua platform media sosial utama.

Komen
Loading...