PROTON Saga Baharu Raih 10,000 Tempahan Dalam Tempoh Lima Hari
- oleh MDaily Editor
- 19 Nov 2025 11:43 am
PROTON sekali lagi membuktikan pengaruh kukuhnya dalam industri automotif tempatan apabila Saga Serba Baharu mencatat 10,000 tempahan hanya dalam lima hari selepas harga anggaran diumumkan pada 10 November lalu.
Pencapaian luar biasa itu bersamaan 2,000 tempahan sehari, 83 tempahan setiap jam, atau satu tempahan baharu setiap 43 saat, menjadikan model sedan paling ikonik negara ini terus menawan hati rakyat Malaysia sejak generasi pertamanya diperkenalkan.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dato’ Ir. Abdul Rashid Musa, menzahirkan penghargaan terhadap sambutan memberangsangkan itu.
“Saga Serba Baharu bukan sekadar sebuah kereta; ia adalah simbol kemajuan negara yang diolah semula untuk generasi baharu. Pencapaian 10,000 tempahan dalam lima hari amat kami hargai dan memberi inspirasi kepada seluruh pasukan PROTON,” katanya.
Beliau menambah, barisan produksi di Tanjong Malim kini digerakkan pada kapasiti lebih tinggi bagi memastikan penyerahan unit kepada pelanggan dapat dilakukan sebaik sahaja pelancaran rasmi berlangsung.

Dibangunkan di atas Advanced Modular Architecture (AMA), Saga Serba Baharu hadir dengan gabungan rekaan moden, kejuruteraan diperkasa dan teknologi pintar. Ia dikuasakan enjin 1.5L i-GT digandingkan bersama Transmisi CVT yang lebih lancar dan menjimatkan bahan api.
Keselamatan turut dipertingkat melalui sembilan Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) serta enam beg udara, memberikan ketenangan minda kepada pemandu dan penumpang.
Ruang dalaman tampil lebih premium dengan Paparan Skrin Berkembar Bersepadu 16-inci lengkap sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, sementara elemen rekaan berinspirasikan Sulaman Songket menambah sentuhan warisan Malaysia yang unik.
Walaupun menerima pelbagai penambahbaikan besar, Saga Serba Baharu kekal menawarkan nilai terbaik dalam kelasnya dengan harga indikatif antara RM40,000 hingga RM50,000, menjadikannya kekal mampu milik dan relevan kepada majoriti pengguna.

Bagi meraikan sambutan luar biasa ini, PROTON meneruskan siri jelajah IKONIK TOGETHER-GATHER, membawa Saga Serba Baharu ke lokasi tumpuan makanan popular.
Selepas singgahan di KLCC dan Bandar Dato’ Onn Johor, siri ini akan ke Tapak Gravitas Jalan Baru, Pulau Pinang dan CarBoot Sale Taman Kerang, Kuantan dari 21 hingga 23 November, memberi peluang orang ramai melihat lebih dekat sedan generasi baharu itu dengan pelbagai aktiviti dan hadiah menarik.
Dengan 10,000 tempahan awal telah diterima, PROTON menawarkan tawaran eksklusif kepada 10,000 pelanggan seterusnya yang membuat tempahan sebelum pelancaran rasmi dan menyelesaikan pendaftaran sebelum 31 Disember 2025. Tawaran tersebut termasuk Servis Percuma 1 Tahun atau 20,000 KM serta Kad Touch ‘n Go Edisi Terhad Saga Serba Baharu.
Saga Serba Baharu menjadi lambang perjalanan industri automotif negara, dicipta oleh rakyat Malaysia untuk rakyat Malaysia dan kini bersedia memasuki fasa baharu di pentas global.
Untuk maklumat lanjut atau membuat tempahan, pelanggan boleh mengunjungi wakil jualan sah PROTON di seluruh negara atau mengikuti Proton Cars Official di media sosial.




