Ikuti Kami:

PROTON Perkukuh Servis Selepas Jualan di Sabah, Sokong Permintaan Tinggi X50

PROTON Perkukuh Servis Selepas Jualan di Sabah, Sokong Permintaan Tinggi X50

PROTON terus memperkukuh komitmennya terhadap pelanggan di Malaysia Timur dengan mempertingkat keupayaan selepas jualan di Sabah bagi menyokong permintaan tinggi terhadap model All-New PROTON X50, yang mencatat jualan sebanyak 2,994 unit pada bulan September, sekali gus mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju segmen SUV negara.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Edar, Encik Zhang Qiang, berkata Sabah kekal sebagai pasaran penting bagi PROTON, dan penubuhan Regional Parts Centre (RPC) di Kota Kinabalu menjadi pemangkin kepada kecekapan operasi selepas jualan di seluruh Malaysia Timur.

“Sabah kekal sebagai salah satu pasaran utama bagi PROTON di Malaysia Timur. Hab alat ganti kami di Kota Kinabalu mempunyai keupayaan untuk memenuhi sehingga 6,000 pesanan pengedar setiap bulan, memastikan pelanggan menerima perkhidmatan yang pantas dan boleh dipercayai,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Zhang, pusat berkenaan berperanan penting dalam memastikan alat ganti kritikal dapat dihantar ke pengedar dalam tempoh seawal satu hari, manakala pesanan rutin disiapkan dalam dua hari bekerja, bergantung kepada keperluan.

Beliau berkata, RPC yang terletak di kawasan strategik Inanam itu dibangunkan di atas kawasan seluas 28,000 kaki persegi dan berfungsi sebagai pusat logistik utama PROTON di Malaysia Timur.

“Pusat ini mampu memproses 15 hingga 20 kontena sebulan serta memunggah sehingga enam kontena serentak. Kami juga mengekalkan stok minimum selama tiga hingga tiga setengah bulan bagi memastikan bekalan alat ganti sentiasa mencukupi,” jelasnya.

Tambah Zhang, kemudahan itu turut mempunyai keupayaan menerima import terus alat ganti bagi memperkukuh rantaian bekalan di Sabah dan utara Sarawak, sekali gus memberikan manfaat kepada pelanggan dan pengedar di rantau ini.

Dalam usaha mengekalkan momentum itu, Zhang berkata PROTON terus melaksanakan Program PROTON Operational Excellence (POE) di seluruh pengedar Sabah bagi memperkukuh standard servis, kemahiran teknikal, kawalan stok dan pengalaman pelanggan.

“Matlamat kami adalah untuk memastikan setiap pemilik Proton di Malaysia Timur yakin bahawa sokongan selepas jualan sentiasa tersedia dan efisien. Dengan pengukuhan rangkaian alat ganti serta pelaksanaan program peningkatan standard perkhidmatan, kami komited memberikan pengalaman pemilikan terbaik kepada pelanggan,” katanya.

Bagi tahun 2025, katanya, Malaysia Timur menyumbang 20.6 peratus daripada jumlah jualan PROTON di seluruh negara, dengan model Saga (15,438 unit), Persona (2,496 unit) dan X50 (1,649 unit) kekal sebagai penyumbang utama pertumbuhan.

Komen
Loading...