PROTON Lancar X50 Serba Baharu dengan Pelbagai Penambahbaikan dan Tawaran Istimewa
- oleh Mohd Indera
- 25 Jul 2025 11:41 am

PROTON melancarkan secara rasmi PROTON X50 Serba Baharu semalam dalam sebuah majlis penuh bergaya, sekali gus menandakan kemunculan semula model SUV B-segmen paling laris di Malaysia dengan pelbagai pembaharuan dari segi reka bentuk, prestasi dan teknologi.
Majlis pelancaran tersebut diserikan dengan kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong, barisan pengurusan tertinggi syarikat, wakil pengedar, rakan industri, media serta peminat automotif tempatan.
Menurut Dr Li Chunrong, PROTON X50 Serba Baharu adalah bukti komitmen PROTON dalam mempertingkatkan reka bentuk dan teknologi automotif demi memenuhi permintaan pengguna Malaysia.
“SUV ini melangkaui jangkaan pengguna dengan reka bentuk moden, teknologi terkini dan ciri keselamatan bertaraf dunia. Kami mahu menetapkan penanda aras baharu dalam segmen B dengan pengalaman memandu generasi seterusnya,” katanya.
Sejak dilancarkan pada tahun 2020, PROTON X50 telah menjadi pilihan utama rakyat Malaysia dengan lebih 140,000 unit terjual, menjadikannya SUV B-segmen paling laris selama lima tahun berturut-turut. Secara global, model ini telah mencatatkan jualan melebihi 1.2 juta unit di 51 negara menerusi kerjasama dengan syarikat automotif China, Geely.
Model baharu ini tampil dengan pelbagai penambahbaikan menyeluruh termasuk skrin infotainmen berukuran 14.6 inci, sistem keselamatan PROTON Smart ADAS Tahap 2 yang dipertingkat serta sistem arahan suara dalam Bahasa Melayu – satu inovasi pertama di dunia yang direka khusus untuk pasaran tempatan.
Enjin 1.5TD i-GT yang digandingkan dengan transmisi automatik 7 kelajuan DCT memberikan kuasa maksimum 133kW dan 290Nm tork, membolehkan pecutan 0 hingga 100km/j dicapai dalam hanya 7.6 saat, selain penjimatan bahan api yang lebih baik sebanyak 4.7 peratus berbanding model terdahulu.
Model ini ditawarkan dalam tiga varian iaitu Executive, Premium dan Flagship bagi memenuhi keperluan pelbagai segmen pengguna moden.
Sempena pelancarannya, PROTON memperkenalkan Tawaran GEMPAK! kepada 10,000 pelanggan terawal yang mendaftar sebelum 31 Oktober 2025. Tawaran ini termasuk rebat tunai sehingga RM4,000, insentif tukar beli sehingga RM2,000 serta pembiayaan istimewa dengan kadar serendah 2.35 peratus setahun (5 tahun) dan 2.38 peratus setahun (7 tahun).
Setiap pembelian turut disertakan dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan, enam servis upah percuma serta naik taraf pelan data 5 tahun kepada 2GB sebulan.
Pelanggan yang mengambil insurans menerusi PROTON Insurance Program akan menikmati tiga faedah tambahan iaitu perlindungan kerosakan khas (Special Perils), perlindungan kerusi kanak-kanak sehingga RM500 serta perlindungan kemalangan peribadi untuk penumpang sehingga RM15,000 seorang.
Turut hadir ialah kumpulan De Fam yang membuat persembahan eksklusif lagu tema rasmi pelancaran, memeriahkan lagi acara tersebut.
Harga atas jalan tanpa insurans bagi PROTON X50 Serba Baharu bermula dari RM89,800 untuk varian Executive di Semenanjung Malaysia dan RM91,800 di Malaysia Timur.
Bagi varian Premium, harganya ialah RM101,800 di Semenanjung dan RM103,800 di Malaysia Timur. Manakala varian tertinggi, Flagship, ditawarkan pada harga RM113,300 di Semenanjung dan RM115,300 di Malaysia Timur.
Selepas diskaun di bawah Tawaran GEMPAK!, harga menjadi lebih kompetitif iaitu RM85,800 (Executive), RM97,800 (Premium) dan RM109,300 (Flagship) di Semenanjung Malaysia, manakala di Malaysia Timur masing-masing ditawarkan pada RM87,800, RM99,800 dan RM111,300.
Pelancaran model ini turut diiringi jelajah produk ke seluruh negara membolehkan orang ramai melihat dan merasai sendiri kehebatan PROTON X50 Serba Baharu.
PROTON menyasarkan pelancaran ini akan terus memperkukuh kedudukan syarikat dalam pasaran SUV negara dan memperluas pengaruhnya di peringkat global.
Untuk maklumat lanjut orang ramai boleh melayari laman rasmi syarikat di www.proton.com.