Proton e.MAS 5 Buka Akses EV Kepada Semua, Harga Dari RM59,800
- oleh MDaily Editor
- 1 Nov 2025 11:05 am
PROTON melakar sejarah baharu apabila melancarkan Proton e.MAS 5, kenderaan elektrik (EV) mampu milik pertama di Malaysia, sekali gus membuka lembaran baharu dalam usaha menjadikan mobiliti hijau lebih mudah diakses oleh rakyat pelbagai peringkat.
Sejak tempahan dibuka pada 4 Oktober lalu, lebih 5,000 tempahan diterima dalam masa tiga minggu, menandakan sambutan luar biasa terhadap model elektrik baharu itu.
Proton e.MAS 5 ditawarkan pada harga bermula RM59,800 untuk varian Prime, manakala varian Premium berharga RM72,800 (harga atas jalan tanpa insurans). Bagi tempoh terhad hingga 31 Disember 2025, pelanggan turut menikmati rebat pelancaran istimewa bernilai sehingga RM3,000.
Menurut Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, pelancaran Proton e.MAS 5 menandakan satu lagi langkah penting dalam perjalanan elektrifikasi PROTON dan matlamat untuk memperluas pemilikan EV dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Pelancaran Proton e.MAS 5 membuktikan komitmen kami membawa teknologi hijau yang bukan sahaja canggih dan selamat, tetapi juga mampu milik. Matlamat kami ialah menjadikan pemilikan EV satu realiti untuk semua rakyat Malaysia, bukan hanya segelintir,” katanya.
Model segmen-B ini menawarkan jarak pemanduan sehingga 325km (WLTP) dengan hanya satu cas penuh, sesuai untuk kegunaan bandar dan perjalanan hujung minggu.
Ia dilengkapi sistem infotainmen 14.6 inci Full HD, paparan digital 8.8 inci dan sistem ATLAS Auto dengan sokongan arahan suara dalam Bahasa Melayu dan Inggeris.

Ciri Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, serta Aplikasi Proton e.MAS, memberi kemudahan kepada pengguna untuk memantau status bateri dan menyejukkan kabin sebelum memulakan perjalanan. Pengecasan pantas DC pula membolehkan bateri dicas dari 30% ke 80% dalam masa hanya 21 minit.
Bahagian dalaman e.MAS 5 menampilkan rekaan minimalis moden dengan 32 ruang penyimpanan, ruang hadapan (frunk) 70L, serta ruang but 375L yang boleh diperluas sehingga 1,320L. Pilihan warna luaran termasuk Moonstone White, Graphite Silver dan Slate Grey, manakala varian Premium hadir dengan Marble Cream dan Quartz Rose.
Proton e.MAS 5 dilengkapi 12 sistem bantuan pemanduan (ADAS) seperti Adaptive Cruise Control, Forward Collision Warning dan Blind Spot Detection. Ia turut menggunakan struktur Star Armor Cage Structure dan bateri CATL LFP dengan perlindungan keselamatan berlapis 3+2 untuk ketahanan optimum.
Motor belakang berkuasa 85kW dengan tork 150Nm membolehkan pecutan 0–50km/j dalam 3.9 saat, menjadikan pengalaman pemanduan lebih pantas dan responsif. Jejari pusingan 4.95m turut menjadikan parkir dan pemanduan di kawasan bandar lebih mudah.
Sempena pelancaran, PROTON memperkenalkan Power Pack eksklusif bernilai sehingga RM8,000 untuk pelanggan terawal, termasuk rebat RM2,000 bagi tukar beli kenderaan lama, data internet tanpa had selama lima tahun, kadar pinjaman istimewa 1.98% selama lima tahun, pengecas rumah 7kW percuma, serta rebat tambahan RM1,000.
Pelanggan Proton e.MAS 5 turut menikmati waranti kenderaan selama 6 tahun tanpa had perbatuan, serta waranti bateri dan komponen voltan tinggi selama 8 tahun atau 160,000km.
Dengan pelancaran Proton e.MAS 5, PROTON bukan sahaja mengorak langkah ke arah elektrifikasi, tetapi juga memperkukuh peranan sebagai peneraju automotif nasional yang menumpukan kepada mobiliti mampan dan masa depan sifar emisi.
Pelancaran rasmi yang berlangsung di Sentul Depot itu dihadiri Tan Sri Syed Faisal Albar, Pengerusi PROTON; Dato’ Hairil Yahri Yaacob, Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI); serta Datuk Dr. Aminar Rashid, Pengerusi MARii, dengan kehadiran wakil daripada DRB-HICOM, Geely Auto Group dan pelbagai agensi kerajaan.




