Ikuti Kami:

Program Chief Experience Officer vivo Tawar Akses Awal & Ganjaran Istimewa

Program Chief Experience Officer vivo Tawar Akses Awal & Ganjaran Istimewa

vivo Malaysia memperkenalkan Program Chief Experience Officer (CEO) yang membuka peluang eksklusif kepada rakyat Malaysia untuk menjadi antara individu terawal merasai pengalaman menggunakan telefon pintar kompak flagship terbaharu mereka, vivo X200 FE, sebelum pelancarannya secara rasmi pada 30 Jun 2025.

Program ini direka khas untuk pencipta kandungan, penggemar teknologi, peminat fotografi dan gaya hidup yang ingin meneroka keupayaan X200 FE sambil mempamerkan kreativiti masing-masing.

Peserta terpilih akan diberi akses awal kepada peranti ini dan perlu menyahut cabaran kandungan mingguan sepanjang program berlangsung dari 3 Julai hingga 5 Ogos 2025.

Antara tarikan utama program ini adalah ganjaran lumayan. Pemenang utama akan dinobatkan sebagai Chief Experience Officer terbaik dan membawa pulang diskaun 50 peratus pembelian vivo X200 FE, jam pintar vivo Watch GT yang bakal dilancarkan serta peluang liputan di platform rasmi vivo Malaysia. Peserta lain turut menerima diskaun 15 peratus dan hadiah luggage premium eksklusif.

Menurut vivo, program ini bertujuan memberi peluang kepada pengguna tempatan untuk merasai sepenuhnya kekuatan utama X200 FE melalui penggunaan harian termasuk reka bentuk dan kebolehgunaan seharian serta keupayaan kameranya yang dipertingkatkan.

vivo X200 FE menampilkan kamera telefoto ZEISS 50MP yang mampu merakam imej dengan ketajaman tinggi, warna semula jadi dan kedalaman yang mengagumkan, sesuai untuk fotografi jarak jauh mahupun potret jarak dekat.

Ia turut disokong dengan fungsi ZEISS Style Portrait bagi menghasilkan kesan latar kabur (bokeh) yang lembut dan sinematik tanpa perlu aplikasi suntingan tambahan.

Rekaan telefon ini turut diberi sentuhan istimewa oleh Hakken, ikon cosplay dan pencipta kandungan tempatan yang mempunyai lebih tiga juta pengikut di Instagram.

Empat variasi warna iaitu Pink Vibe, Yellow Glow, Blue Breeze dan Black Luxe membawa gaya ekspresif yang mencerminkan semangat bebas dan personaliti pengguna moden.

Orang ramai yang berminat boleh mendaftar sebelum 29 Jun 2025, manakala pengumuman peserta terpilih akan dibuat pada 2 Julai 2025. Penyertaan boleh dilakukan menerusi laman web rasmi vivo Malaysia.

Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, sila layari https://www.vivo.com/my

Komen
Loading...