Program ‘Ambil Peduli’ Surau Al-Amirin Kukuh Silaturahim Penduduk Bandar Baru Bangi
- oleh MDaily Editor
- 7 Mar 2026 2:11 pm
Surau Al-Amirin di sini terus memperkasakan peranannya sebagai pusat penyatuan komuniti menerusi penganjuran Program Ambil Peduli dan Pengagihan Bubur Lambuk sempena bulan Ramadan dan sambutan Nuzul Quran.
Inisiatif murni itu bukan sahaja bertujuan menyemarakkan penghayatan bulan al-Mubarak, malah menjadi platform penting dalam memperkukuh semangat perpaduan, kesukarelawanan, dan kebajikan dalam kalangan masyarakat setempat.
Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Orang Besar Daerah Hulu Langat, Y.D.H. Dato’ Haji Rosli Bin Othman, serta Pegawai Daerah Hulu Langat, Dato’ Haji Mohd Jusni Bin Hasim.
Dato’ Haji Rosli dalam ucapannya berkata, komitmen yang ditunjukkan oleh jawatankuasa surau dan ahli kariah mencerminkan kekuatan semangat gotong-royong yang menjadi teras keharmonian daerah itu.

”Dari tangan yang memberi, lahirnya senyuman yang diberkati. Ramadan bukan sahaja bulan ibadah, malah bulan untuk memperkukuh silaturahim dan menyemai nilai keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan,” katanya di sini, hari ini.
Pada program tersebut, sebanyak 500 pek bubur lambuk disediakan secara bergotong-royong sebelum diagihkan kepada kariah, golongan asnaf, dan penduduk sekitar. Selain itu, sumbangan barangan dapur dan duit raya turut diserahkan kepada 25 penerima yang layak bagi meringankan beban mereka.

Sementara itu, Pengerusi Surau Al-Amirin, Dato’ Abdul Rashid Bin Mohd Ghani, turut menyalurkan wakalah zakat perniagaan beliau berjumlah RM75,000.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM50,000 disumbangkan kepada Maahad Tahfiz & Tarbiyyah Al-Amirin untuk kebajikan pelajar, manakala RM25,000 lagi diperuntukkan kepada tabung aktiviti Surau Al-Amirin.
Dato’ Abdul Rashid menjelaskan, sumbangan itu adalah tradisi berterusan sejak sebelum tempoh pandemik lagi bagi memastikan tiada jiran atau ahli kariah yang terpinggir daripada bantuan.

”Surau ini menjadi pusat kehidupan masyarakat. Kami mengenal pasti mereka yang memerlukan, termasuk ibu tunggal dan warga emas generasi pertama di sini, untuk dibantu menerusi tabung aktiviti yang disumbangkan oleh komuniti sendiri,” jelas beliau.

Menambah pengisian rohani sempena Nuzul Quran, majlis turut mengadakan ceramah khas bertajuk “Amalan dan Penghayatan Al-Quran – Mukjizat Untuk Masyarakat” yang disampaikan oleh tokoh agama terkenal, Dato’ Prof. Dr. Haji Mohd Farid Ravi Abdullah.
Sebagai kesinambungan agenda kebajikan, Surau Al-Amirin dijadualkan bakal menganjurkan Program Pasar Rahmah Madani pada hujung minggu depan, yang menawarkan potongan harga barangan keperluan antara 10 hingga 30 peratus buat penduduk setempat bagi persiapan menyambut Aidilfitri.




