Ikuti Kami:

PRK KKB: PN Ketandusan Idea- Fahmi

PRK KKB: PN Ketandusan Idea- Fahmi

PUTRAJAYA — Perikatan Nasional (PN) terpaksa bermain dengan isu kaum dan agama termasuk berkaitan sekolah vernakular pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu kerana pemimpin parti itu sudah ketandusan idea, kata Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil.

Justeru, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi meminta jentera PN bagi PRK KKB itu supaya menghentikan bermain dengan sentimen perkauman kerana ia ibarat “senjata makan tuan”.

“Berapa ramai pimpinan PAS hantar anak (mereka) ke sekolah Cina malah saya difahamkan cucu Hadi (Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang) dihantar ke sekolah Cina,” katanya kepada media selepas merasmikan pejabat Pakatan Harapan (PH) Putrajaya di Presint 11 hari ini.

Fahmi berkata Malaysia adalah sebuah negara yang rakyatnya mengamalkan sikap kesederhanaan dan parti politik yang memainkan isu perkauman termasuk sekolah vernakular adalah tidak matang.

Menurut Fahmi, ketika ini dalam situasi ‘panic mode’ kerana walaupun sudah masuk hari kelima kempen PRK KKB, pemimpin utama PAS didakwa masih memboikot PN.

“Kita ingatkan diboikot itu Starbucks, KFC rupanya calon PN pun kena boikot,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari mempolitikkan latar belakang pendidikan calon PH yang mewakili Kerajaan Perpaduan pada PRK Kuala Kubu Baharu, Pang Sock Tao.

Sementara itu Fahmi berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh turun berkempen pada PRK KKB pada bila-bila masa.

Beliau berkata dakwaan pembangkang kononnya Anwar memboikot PRK KKB adalah tidak masuk akal kerana Perdana Menteri sendiri yang tandatangan watikah pelantikan calon (Pakatan Harapan) dan turun ke Kuala Kubu Baharu dengan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dalam program jamuan raya pada 26 April.

“Beliau (perdana menteri) boleh turun bila-bila masa,” katanya.

Pada PRK berkenaan, Pang ditentang oleh tiga pencabarnya iaitu Khairul Azhari Saut (PN), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 11 Mei ini sebagai hari mengundi, manakala pengundian awal pada 7 Mei.

— BERNAMA

Komen
Loading...