Premis Dobi dan Tempat Kerja Diwartakan Kawasan Larangan Merokok Mulai Januari 2025
- oleh Mohd Indera
- 2 bulan lalu
KUALA LUMPUR: Bermula 1 Januari tahun depan, premis dobi dan bangunan tempat kerja, termasuk sektor kerajaan dan swasta, akan digazetkan sebagai kawasan larangan merokok.
Langkah ini diperkenalkan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), yang turut melibatkan beberapa tempat lain seperti pusat hiburan, hospital, lif, tandas awam, restoran, dan kedai berhawa dingin.
Penambahan kawasan larangan ini menjadikan jumlah keseluruhan kawasan yang diwartakan sebanyak 28.
Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, penguatkuasaan akan dilakukan secara berperingkat dengan tempoh pematuhan selama tiga bulan diberikan kepada semua premis sebelum tindakan undang-undang dikenakan.
“Saya amat bersyukur premis dobi akhirnya termasuk dalam senarai larangan merokok. Tempat ini sering dikunjungi oleh ibu-ibu yang membawa anak kecil, dan ini adalah langkah tepat untuk melindungi kesihatan orang awam,” katanya ketika sesi taklimat media mengenai Akta 852 pada Jumaat.
Individu yang melanggar larangan merokok di kawasan yang telah diwartakan boleh dikenakan denda maksimum RM5,000.
Akta ini bertujuan mengawal penggunaan produk tembakau, termasuk rokok elektronik atau vape, dan mengurangkan kemudaratan terutamanya di kalangan golongan muda.