Ikuti Kami:

Prasarana Sahkan Sistem Dalaman Digodam, Sedang Tangani

Prasarana Sahkan Sistem Dalaman Digodam, Sedang Tangani

PETALING JAYA: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mengesahkan sistem dalamannya telah diserang perisian ransomware yang sedang ditanganinya.

“Pasukan keselamatan siber kami telah mengenal pasti dan sedang menangani insiden tersebut, yang melibatkan akses tanpa kebenaran ke beberapa sistem kami.

“Kami sedang mengurus dan menangani situasi ini. Kami juga sedang bekerjasama dengan pakar keselamatan siber untuk menyiasat serta mengambil langkah mitigasi, katanya dalam kenyataan.

Terdahulu pemantau ancaman siber Falcon Feeds melaporkan bahawa perisian RansomHub telah digunakan dalam serangan itu yang berpotensi menjejaskan 316GB data Prasarana daripada laman sesawang prasarana.com.my.

Falcon Feeds selanjutnya mendedahkan penyerang merancang untuk mengeluarkan data yang dicuri dalam masa tujuh hari.

Mengulas lanjut, Prasarana memberi jaminan pihaknya akan memberi keutamaan terhadap keselamatan dan kebolehpercayaan perkhidmatan pengangkutan awam.

Kami ingin mengesahkan bahawa insiden ini tidak memberi gangguan terhadap operasi harian kami, katanya.

Menurutnya, pihaknya juga bekerjasama dengan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan CyberSecurity Malaysia untuk melindungi sistemnya.

“Kami akan terus memberikan perkembangan dari semasa ke semasa.

Tumpuan kami kekal pada penyelesaian masalah dengan segera di samping memastikan perkhidmatan kami terus memenuhi keperluan orang awam, katanya.

Komen
Loading...