Ikuti Kami:

Prasangka Lancar “Nun Jauh Di Sana”, Lagu Raya yang Menggamit Rindu

Prasangka Lancar “Nun Jauh Di Sana”, Lagu Raya yang Menggamit Rindu

Kumpulan Prasangka, yang dianggotai oleh Ajis Hisham dan Matt, mempersembahkan sebuah lagu raya penuh emosi bertajuk Nun Jauh Di Sana.

Lagu ini diilhamkan daripada pengalaman rakyat Malaysia ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama semasa pandemik COVID-19, yang membatasi perayaan Aidilfitri hanya untuk sehari sahaja.

Menurut Ajis Hisham, vokalis dan pemain gitar kumpulan ini, lagu Nun Jauh Di Sana menggambarkan perasaan rindu mendalam terhadap keluarga, kampung halaman, dan juga Sang Pencipta.

“Lagu ini berkisar tentang rindu dalam pelbagai bentuk. Pendengar boleh menghayatinya mengikut pengalaman dan perasaan mereka sendiri,” ujar Ajis, yang juga merupakan pencipta sepenuhnya lagu ini.

Prasangka sebelum ini telah meriliskan beberapa single di bawah label Luncai Emas seperti Jadey dan Cigak. Namun, Nun Jauh Di Sana membawa kelainan dengan menampilkan konsep nostalgia lagu raya era 80-an.

Proses rakaman lagu ini bermula pada tahun 2021 tetapi tertangguh beberapa kali akibat pelbagai fasa PKP. Setelah menempuh cabaran, akhirnya Nun Jauh Di Sana berjaya disiapkan sepenuhnya pada awal tahun 2024.

Rakaman dijalankan di studio Dapo Rekod, Senawang, Negeri Sembilan, manakala proses adunan dan mastering disempurnakan oleh Areef Iskandar.

Dengan suasana klasik yang mengimbau kenangan, Prasangka berharap lagu ini dapat diterima oleh peminat muzik tanah air.

“Kami masih tidak boleh ‘move on’ dengan suasana lagu-lagu raya lama, jadi kami ingin menghidupkan kembali kehangatan dan kemeriahannya melalui Nun Jauh Di Sana,” tambah Ajis.

Lagu ini bakal diedarkan secara digital oleh Luncai Emas dan akan tersedia di seluruh platform digital mulai 21 Mac 2025.

Prasangka berharap karya ini dapat menarik perhatian pendengar dari pelbagai generasi, khususnya anak muda, serta mendapat tempat di corong-corong radio sepanjang musim perayaan.

Dengan elemen nostalgia yang menggamit perasaan, Nun Jauh Di Sana bukan sekadar sebuah lagu raya biasa, tetapi satu karya yang menghidupkan semula makna sebenar kerinduan dan kebersamaan di Hari Raya Aidilfitri.

Komen
Loading...