Powercat Hidupkan Kasih di Shikin Shelter, Ceriakan 300 Ekor Kucing Terbiar
- oleh MDaily Editor
- 22 Oct 2025 8:21 pm
Jenama makanan kucing tempatan, Powercat, di bawah Adabi Consumer Industries Sdn. Bhd., meneruskan komitmen terhadap kebajikan haiwan melalui penganjuran program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bertemakan “Purr-Fect Care Si Comot by Powercat” yang berlangsung di Shikin Shelter Melaka STAR, Alor Gajah.
Program berkonsepkan kasih sayang terhadap haiwan itu bukan sahaja memperkenalkan produk baharu Powercat, “Si Comot”, tetapi turut menceriakan lebih 300 ekor kucing terbiar yang menjadi penghuni pusat perlindungan tersebut.
Sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan haiwan, Powercat menyumbangkan 400 kilogram makanan kucing dan wang tunai sebanyak RM1,000 kepada pihak pengurusan Shikin Shelter.

Sumbangan itu disampaikan dalam suasana mesra dan penuh kasih antara wakil Powercat, sukarelawan, serta komuniti setempat yang hadir memeriahkan majlis.
Selain memberi tumpuan kepada kebajikan haiwan, Powercat turut meraikan para sukarelawan dan petugas pusat tersebut dengan jamuan istimewa hasil air tangan Adabi, termasuk hidangan Ayam Perapan Madu, Nasi Goreng Pedas, Air Asam Jawa dan Kopi, semuanya disediakan menggunakan produk keluaran tempatan itu.
Acara bertambah meriah dengan kehadiran selebriti pencinta kucing tanah air seperti Maria Tunku Sabri, Sarah Suhairi, Sissy Iman dan Iqram Dinzly, yang turut bersama-sama menyertai aktiviti penyerahan sumbangan serta beramah mesra dengan sukarelawan dan komuniti sekitar.

Bagi Sarah Suhairi, yang memelihara tiga ekor kucing di rumah, penyertaan dalam program ini amat bermakna kerana ia membuka peluang untuk memberi kembali kepada haiwan yang memerlukan.
“Sebagai pencinta kucing, saya rasa terpanggil untuk membantu kucing-kucing yang kurang bernasib baik dan memerlukan perhatian,” katanya.
Sementara itu, Sissy Iman turut berkongsi kisah menyentuh hati apabila dua ekor kucing jalanan yang pernah diselamatkannya kini menjadi sebahagian daripada keluarganya.
“Saya percaya setiap kucing berhak mendapat kasih sayang dan tempat yang selamat. Program seperti ini sangat bermakna untuk meningkatkan kesedaran tentang tanggungjawab terhadap haiwan,” ujarnya.
Bagi Iqram Dinzly, membela kucing bukan sekadar hobi, tetapi satu bentuk terapi jiwa.
“Membela kucing membuatkan saya rasa gembira dan tenang. Program seperti ini membantu kita menghargai makhluk Tuhan yang sering terpinggir,” katanya sambil tersenyum.
Program turut dimeriahkan dengan kehadiran pempengaruh media sosial dan komuniti pencinta kucing tempatan seperti @Elizadianna, @F.zzatys, @rynn521 serta duta rasmi Powercat, @king_oyen2022, yang menjadikan suasana lebih ceria dan penuh kasih.
Si Comot by Powercat ialah sub-jenama di bawah Powercat yang bernaung di bawah Adabi Consumer Industries Sdn. Bhd., dengan fokus menyediakan makanan kucing berkualiti tinggi dan mampu milik untuk semua pencinta haiwan di Malaysia.
Melalui inisiatif Purr-Fect Care Si Comot by Powercat, jenama ini komited untuk terus menyumbang kepada kebajikan masyarakat serta memupuk kesedaran mengenai tanggungjawab terhadap haiwan peliharaan.
Sepanjang tahun 2025, Powercat telah menjayakan beberapa program CSR di seluruh negara termasuk di Hulu Langat, Perlis, Shah Alam dan Johor Bahru, dengan jumlah bantuan melebihi 15,000 ekor kucing yang menerima manfaat daripada program tersebut.




