
Pot Amir, anggota kumpulan Innuendo yang sinonim dengan irama R&B tanah air, kembali menerusi inisiatif berjiwa besar apabila mengetuai Singgahsana Trilogy Tour, sebuah projek muzik eksklusif yang menyatukan barisan artis tempatan dalam semangat kekeluargaan, kasih sayang dan nilai kemanusiaan.
Selaku pencetus idea di sebalik projek ini melalui platform Suruhanjaya Senyum dan kerjasama Alkaline Radiostar, Pot menggabungkan muzik, penceritaan dan komuniti dalam satu siri persembahan tiga malam berturut-turut bermula 1 hingga 3 Ogos 2025 di Liberal Latte, Kuala Lumpur.
Bertemakan cinta dalam pelbagai dimensi, dari kasih kepada anak yatim, cinta romantik suami isteri, hingga penghargaan terhadap ibu, setiap malam mengangkat nilai sosial menerusi muzik dan momen penuh makna.
Antara artis yang bakal bergandingan bersama Pot termasuk Azan, Zain dan Sein dari kumpulan Ruffedge serta Lah Ahmad, dengan iringan muzik oleh Alkaline Radiostar.
Mereka bakal tampil dalam suasana eksklusif, dengan hanya 90 tetamu setiap malam, bagi mengekalkan keintiman dan keselesaan penonton.
Pot berkata, Singgahsana Trilogy Tour bukan sekadar persembahan hiburan tetapi ruang menyatukan penggiat seni demi menyampaikan mesej kasih sayang dan penghargaan dalam pelbagai bentuk.
“Ini adalah pentas kecil yang membawa maksud besar. Saya mahu artis kita bukan hanya menyanyi, tetapi memberi. Menyentuh jiwa, bukan sekadar halwa telinga,” ujar Pot Amir.
Acara pembukaan pada 1 Ogos bertemakan kenduri doa selamat yang meraikan anak-anak yatim sebagai tetamu utama. Konsep ‘makan dalam talam’ untuk lima orang dijual pada harga RM250 satu talam. Tempahan boleh dibuat melalui En. Saiful di 018-668 5928.
Malam kedua, pada 2 Ogos, didedikasikan buat pasangan suami isteri yang ingin meraikan cinta mereka dengan makan malam romantik dan alunan lagu-lagu cinta. Tiket berharga RM143 termasuk makan malam.
Siri persembahan ditutup pada 3 Ogos dengan acara istimewa penghargaan kepada kaum ibu dan wanita dalam suasana elegan penuh emosi. Tiket berharga RM111 termasuk hi-tea.
Setiap persembahan menampilkan elemen kejutan, persembahan peribadi dan ruang interaksi santai antara artis dan penonton.
Projek ini turut menerima sokongan Dana Kandungan Kreatif, MyCreative Ventures di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital sebagai usaha memperkasa sektor kreatif melalui projek berimpak sosial.
Tempahan kini dibuka secara dalam talian di LiberalLatte.my. Tempat duduk amat terhad dan hanya 90 orang dibenarkan bagi setiap acara.
“Singgahsana Trilogy Tour adalah panggilan untuk kita kembali kepada nilai asas, kasih, hormat dan syukur,” kata Pot.