Kalau anda masih ingat lagi, sebelum ini tular kisah sedih seorang abang posmen yang menceritakan mengenai isu tidak menerima bonus tahun ini.
Kisah tersebut menjadi perhatian ramai di mana orang ramai kemudian memberikan sumbangan kepada individu itu untuk membantunya.
Bukan itu saja, satu dana telah dihasilkan bagi mengutip sumbangan bagi membantu abang posmen tersebut. Namun, Pos Malaysia kini mengesahkan individu tersebut adalah ‘scammer’ dan cuba melakukan penipuan.
Polis menahan 3 individu termasuk posmen tersebut yang mendakwa dirinya berdepan kesusahan kerana tidak mendapat bonus Hari Raya.
Dia didakwa memalsukan identiti di laman sosial Facebook dengan memuat naik kisah kesempitan hidup bagi meraih simpati netizen.
Tetapi ianya membawa padah kepada posmen ini apabila ditahan bersama dua individu yang bersubahat dengannya.
Posmen berusia 22 tahun itu datang membuat laporan polis, tiga hari lepas menafikan dia terbabit dengan kutipan derma berkenaan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, hasil soal siasat mendapati keterangan diberikan lelaki itu meragukan dan tidak dapat memberi penjelasan.
Malah, pihak polis mendapati dia cuba membuat laporan polis palsu memandangkan nama yang digunakan juga tidak wujud.
Pihak polis menahan lelaki tersebut untuk siasatan lanjut sebelum dua lagi individu termasuk pentadbir akaun kumpulan Facebook yang menularkan cerita sedih itu turut ditahan.
Wanita berusia 35 tahun dan lelaki berusia 23 tahun kemudian ditahan apabila mereka menyerah diri selepas posmen terbabit dicekup.
Berdasarkan siasatan, posmen tersebut berjaya memperoleh kutipan derma sebanyak RM5,000 yang dimasukkan ke dalam akaunnya. Duit tersebut juga sudah digunakan untuk membeli barang keperluannya.
Siasatan juga mendapati kedua-dua suspek yang ditahan mengaku bersubahat dengan posmen tersebut dengan memuatnaik kisah menyedihkan itu untuk meraih simpati.
Polis kini merampas kesemua telefon pintar milik ketiga-tiga suspek untuk siasatan lanjut. Mereka kini direman selama tiga hari sehingga Ahad ini mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
BACA : Dilema Abang Posmen, Kerja Menimbun Tapi Tak Dapat Bonus