Pos Malaysia Lancar Setem Kenang-Kenangan 150 Tahun Kesatuan Pos Sedunia
- oleh Mohd Indera
- 4 minggu lalu
Bersempena sambutan Hari Pos Sedunia 2024, Pos Malaysia telah melancarkan koleksi setem kenang-kenangan eksklusif yang bukan sahaja menandakan hari penting ini, tetapi juga ulang tahun ke-150 Kesatuan Pos Sedunia (UPU).
Sambutan ini diadakan setiap tahun bagi memperingati sumbangan sektor pos dalam menghubungkan masyarakat di seluruh dunia.
Koleksi setem kali ini memaparkan ilustrasi kenderaan dan perkhidmatan terkini yang disediakan oleh Pos Malaysia.
Ia menggambarkan komitmen syarikat tersebut dalam memastikan hubungan berterusan dan usaha mereka untuk meningkatkan kehidupan masyarakat demi masa depan yang lebih cemerlang dan lestari.
Judul koleksi ini ialah “Setem Kenang-Kenangan 150 Tahun Kesatuan Pos Sedunia”, dan ia dikeluarkan pada 9 September 2024.
Koleksi ini boleh didapati dalam set lengkap yang dijual pada harga RM50.50. Setiap pembelian mengandungi:
Satu helaian setem berharga RM1.50
– Satu helaian mini
– Satu sampul surat Hari Pertama dengan setem
– Satu sampul surat Hari Pertama dengan helaian mini
= Satu folder eksklusif
Koleksi edisi terhad ini boleh dibeli melalui https://bit.ly/4h7mMSu serta di semua 90 Biro Filateli, termasuk Pejabat Pos Besar dan Pejabat Pos terpilih di seluruh negara.
Untuk senarai lengkap Biro Filateli yang menjual setem ini, rujuk di https://bit.ly/49tnwwD.
Dengan keluaran khas ini, Pos Malaysia terus membuktikan peranan pentingnya dalam mendukung sektor pos dan perkhidmatan logistik di Malaysia, sambil memastikan hubungan dan interaksi global terus diperkukuhkan.