POP MART Pilih Malaysia Lokasi Pertama pop-up CRYBABY ‘Cry Me An Ocean’ di Asia Tenggara
- oleh MDaily Editor
- 9 May 2026 3:41 pm
Peneraju global industri budaya pop dan hiburan, POP MART, secara rasminya memilih Malaysia sebagai lokasi pertama di Asia Tenggara bagi penganjuran acara pop-up CRYBABY “Cry Me An Ocean” yang dinantikan peminat.
Acara yang bakal berlangsung di Orange Concourse, Sunway Pyramid bermula 14 hingga 24 Mei 2026 itu diadakan bersempena dengan pelancaran rasmi siri koleksi terbaharu, CRYBABY Cry Me An Ocean pada 15 Mei ini.
POP MART Malaysia dalam satu kenyataan hari ini berkata, inisiatif itu merupakan satu pencapaian penting bagi jenama tersebut dalam mengukuhkan kehadirannya di rantau ini, selaras dengan lonjakan populariti karakter CRYBABY dalam kalangan pengumpul tegar dan peminat seni reka mainan.
”Kempen ini menawarkan pengalaman runcit imersif yang unik dengan menggabungkan elemen emosi sinonim karakter CRYBABY bersama suasana berinspirasikan lautan yang penuh imaginasi.
”Sebagai aktiviti pengenalan, sebuah instalasi inflatables CRYBABY berskala besar turut dipamerkan di pintu masuk Blue Entrance, Sunway Pyramid bermula hari ini bagi menarik perhatian pengunjung sebelum ruang pameran utama dibuka sepenuhnya,” menurut kenyataan itu.

Sorotan utama acara tersebut adalah kehadiran pelukis dan pencipta watak CRYBABY yang terkenal, Molly, yang dijadualkan membuat penampilan sulung di Malaysia untuk sesi tandatangan eksklusif pada 16 Mei 2026.
Peminat yang ingin menyertai sesi tersebut boleh mendapatkan pas masuk dengan mengunjungi cawangan POP MART di Sunway Pyramid bermula 11 hingga 13 Mei ini.
Selain berpeluang memiliki koleksi terbaharu, pengunjung ke ruang pop-up itu juga bakal menikmati pelbagai aktiviti interaktif termasuk sudut fotografi khas dan tawaran hadiah eksklusif dengan pembelian (GWP) seperti pelitup mata bertema, skarf dan pelekat eksklusif selagi stok masih ada.

Sehingga kini, POP MART mengendalikan lebih 570 cawangan di lebih 30 buah negara, termasuk kehadiran kukuh di Malaysia melalui cawangan di lokasi utama seperti Pavilion Kuala Lumpur, The Exchange TRX, dan IOI City Mall Putrajaya.
Untuk maklumat lanjut mengenai acara ini, orang ramai boleh mengikuti laman media sosial rasmi POP MART Malaysia di Facebook, Instagram dan TikTok.
