Ikuti Kami:

POLONG: Jun Lojong Kongsi Pengalaman Meremang Di Penjara Lama

POLONG: Jun Lojong Kongsi Pengalaman Meremang Di Penjara Lama

Pelakon Utama POLONG, Jun Lojong berkongsi pengalaman mendebarkan dan mendalam yang meruntun emosinya sepanjang menjayakan penggambaran filem seram terbaharu, ‘Polong’, di kawasan sel akhir Penjara Lama Johor atau Kota Jail.

Jun, yang memegang watak utama sebagai Maria Hadi,seorang banduan sel akhir yang dikaitkan dengan amalan ilmu hitam, mengakui persekitaran bangunan tinggalan sejarah itu memberikan aura mistik dan impak psikologi yang sangat kuat buat dirinya.

Beliau menjelaskan, meskipun tidak berdepan dengan ketakutan yang keterlaluan terhadap entiti halus, namun suasana di lokasi larangan itu kerap kali membuatkan bulu romanya meremang.

“Perasaan takut (hantu) itu sebenarnya tidak ada, cumanya saya bimbang sekiranya emosi watak itu terbawa-bawa ke luar set. Bila penggambaran dijalankan sehingga awal pagi di kawasan sel akhir yang sebenar, suasana memang meremang.

“Ada masanya saya rasa seperti ada sesuatu yang cuba menguasai diri, malah seperti ternampak-nampak kelibat. Namun, saya cepat-cepat sedar dan cuba berfikir positif bahawa itu mungkin sekadar mainan perasaan akibat keletihan melampau,” katanya kepada media semasa malam gala filem Polong di 10Star Cinemas, Hextar World Empire City, Petaling Jaya, di sini, semalam.

Menurut Jun, bagi menjayakan babak hukuman gantung, pihak produksi menggunakan binaan replika (*mock-up*) di bangunan sebelah, namun suasana di sekitar sel-sel asal tetap dirasakan sangat berat dan menyeramkan.

Lebih meruntun jiwa, Jun berkongsi rasa ralat dan bimbang apabila melihat kesan peninggalan tulisan serta luahan hati sebenar para banduan akhir yang masih kekal pada dinding sel di situ.

“Di kawasan set itu, tulisan-tulisan asal banduan memang tidak dibuang. Bila kita berjalan dan melihat tulisan seperti ‘Mak, tunggu aku akan balik’ dan ‘Aku tak nak buat lagi lah’, perasaan jadi sangat sayu. Kata-kata itu benar-benar menyentuh emosi dan mencetuskan rasa keinsafan yang luar biasa dalam diri saya,” ujarnya.

Disebabkan tekanan emosi dan latar belakang watak Maria Hadi yang memerlukan kajian terhadap kes-kes berprofil tinggi, Jun mengambil pendekatan untuk ‘membuang’ dan membersihkan sisa karakter tersebut sebelum melangkah masuk ke rumah demi menjaga ruang domestik keluarganya.

Polong mengisahkan Fatima (Mimi Lana) , seorang wartawan yang tidak sengaja membongkar kisah silam seorang bomoh bersiri, Maria Hadi (Jun Lujong).

Pencarian ini bukan sahaja mendedahkan jenayah lampau Maria, malah telah membebaskan sejenis entiti berbahaya (polong) yang pernah dipeliharanya.

Demi menghentikan sumpah dan keganasan entiti itu, Marissa (Nadiya Nisaa), terpaksa berhadapan dengan dilema sama ada mahu menerima warisan gelap ibunya atau mencari jalan untuk memusnahkan legasi itu buat selama-lamanya.

Filem ‘Polong’ arahan pengarah terkenal Zulkarnain Azhar yang diangkat daripada kisah benar ini turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Mimi Lana, Fad Anuar, Namron, Amir Nafis dan Nadiya Nisaa dan dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 28 Mei ini.