Ikuti Kami:

POLONG: Filem Seram Terbaru Mengangkat Kisah Dosa Silam dan Ilmu Hitam

POLONG: Filem Seram Terbaru Mengangkat Kisah Dosa Silam dan Ilmu Hitam

Syarikat produksi Golden Star Pictures Sdn. Bhd. (GSPSB) bakal memperkenalkan filem seram sulung mereka berjudul Polong, yang mengangkat kisah dendam makhluk mistik akibat dosa silam tuannya.

Diarahkan oleh Zulkarnain Azhar, Polong bukan sekadar sebuah filem seram biasa, tetapi turut membawa mesej mendalam mengenai legasi dosa dan akibat yang tidak dapat dielakkan dari amalan ilmu hitam.

“Filem ini bukan hanya menampilkan elemen seram, tetapi juga menjadi simbolik kepada kegelapan yang kita bawa dalam diri—baik dari dosa masa lalu mahupun trauma yang tidak terselesaikan,” kata Zulkarnain.

Polong mengisahkan Maria Hadi, seorang wanita yang mengamalkan ilmu hitam tetapi ingin bertaubat menjelang akhir hayatnya. Namun, dia terpaksa melepaskan polong belaannya kepada orang yang tidak sepatutnya.

Selepas kematian Maria, makhluk itu kembali menuntut dendam, memaksa pewaris Maria untuk berdepan dengan sumpahan mengerikan.

Dijangka memulakan penggambaran pada Mei 2025, Polong menampilkan barisan pelakon popular seperti Mimi Lana, Fad Anuar, Namron, June Lojong dan Nadiya Nisaa.

Menurut penerbit eksekutif Onn Norshal Hamzah, GSPSB memilih genre seram untuk projek sulung mereka kerana yakin dengan permintaan tinggi dalam pasaran filem tempatan dan antarabangsa.

“Projek ini melalui proses pemilihan yang teliti berdasarkan kekuatan komersialnya. Kami percaya Polong bukan sahaja mampu bersaing dalam industri tempatan, tetapi juga berpotensi menarik perhatian pasaran luar negara,” katanya.

Pemilihan Zulkarnain sebagai pengarah turut didorong oleh kejayaannya menerusi filem seperti Takluk, Air Force dan J Revolusi.

“Dengan pengalaman dan kepakarannya, kami yakin Polong akan menjadi filem yang dinanti-nantikan peminat genre seram,” tambah Onn.

Bagi memastikan filem ini mencapai potensi pasaran yang lebih luas, Polong akan diedarkan oleh 10 Star Cinemas Sdn. Bhd., yang memiliki rangkaian pawagam komuniti dan pasukan pemasaran berpengalaman.

Dengan kombinasi kisah yang kuat, barisan pelakon berbakat, serta strategi pemasaran yang mantap, Polong dijangka memberi impak besar dalam industri perfileman tempatan.

Peminat filem seram pastinya tidak mahu ketinggalan menyaksikan naskhah ini di pawagam nanti.

Komen