Ikuti Kami:

“Polite” Tanda Kerjasama Antarabangsa SonaOne dan tlinh

“Polite” Tanda Kerjasama Antarabangsa SonaOne dan tlinh

Penyanyi rap dan penerbit muzik terkenal, SonaOne, kembali dengan sentuhan segar menerusi single terbaharunya berjudul Polite, hasil kolaborasi bersama sensasi pop-rap Vietnam, tlinh.

Single yang diterbitkan sendiri oleh SonaOne itu menyatukan dua budaya dan dua suara unik dari Malaysia dan Vietnam dalam satu karya penuh gaya dan emosi.

Ditulis oleh SonaOne, tlinh dan SYA, lagu ini mengisahkan perasaan yang tidak terucap ketika cinta masih wujud, namun komunikasi kian pudar.

Mengulas mengenai makna di sebalik lagu berkenaan, SonaOne berkata, Polite menggambarkan kejujuran dan kerentanan dalam hubungan manusia.

“Saya mahu Polite terasa seperti ribut yang tenang, minimalis, rapat, dengan bunyi 808 seperti degupan jantung, seolah-olah menahan kata-kata yang ingin diungkapkan,” katanya.

Tambahnya, idea awal lagu tersebut sudah tercetus sejak tahun 2020 ketika tempoh pandemik.

“Saya merakam demo pertama bersama SYA ketika lockdown. Lagu ini memang dekat di hati saya, cuma saya belum menemui arah yang sesuai sehinggalah pasukan A&R di Def Jam Malaysia mencadangkan tlinh. Selepas beberapa kali ke Ho Chi Minh City, semuanya menjadi kenyataan,” jelasnya.

Sementara itu, tlinh, yang kini dikenali sebagai antara artis wanita paling berpengaruh di Vietnam, menyifatkan kolaborasi ini sebagai pengalaman yang menyeronokkan dan mencabar.

“Apabila saya pertama kali mendengar Polite, saya tertarik dengan beat dan melodinya. Saya hanya ikut naluri dan mencipta berdasarkan apa yang saya rasa betul. Bekerja dengan SonaOne sangat mudah dan menyeronokkan,” katanya.

tlinh mula mencipta nama menerusi program realiti Rap Việt sebagai satu-satunya peserta wanita yang mara ke Top 8, sebelum muncul sebagai artis wanita nombor satu di Spotify Vietnam.

Album debutnya ái turut tersenarai dalam “Best Asian Albums of 2023” oleh NME, selain memenangi anugerah Female Artist/Rapper of the Year di Làn Sóng Xanh 2024.

Selain lagu, SonaOne turut menjalani penggambaran video muzik rasmi Polite di Ho Chi Minh City bersama tlinh.

Diterbitkan dengan kerjasama pasukan produksi tempatan, video muzik itu menggambarkan suasana intim dan sinematik yang memperlihatkan dualiti antara kelembutan dan jarak, seiring dengan mesej lagu tersebut.

Polite bakal dilancarkan di semua platform penstriman utama mulai 4 November 2025.

Komen
Loading...