Ikuti Kami:

Polis Selamatkan 402 Kanak-Kanak, Remaja Dididik Cara Meliwat Dan Diliwat, 171 Ditahan Termasuk Ustaz

Polis Selamatkan 402 Kanak-Kanak, Remaja Dididik Cara Meliwat Dan Diliwat, 171 Ditahan Termasuk Ustaz

KUANTAN: Polis menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja berusia antara setahun hingga 17 tahun yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi di 18 rumah amal di Selangor dan dua di Negeri Sembilan menerusi gerakan ‘Op Global’ hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata mangsa terdiri daripada 201 kanak-kanak dan remaja lelaki dan 201 perempuan.

Beliau berkata, hasil serbuan itu mendedahkan berlaku kesalahan pengabaian serta penganiayaan terhadap kanak-kanak dan remaja yang juga penghuni di rumah amal itu.

“Susulan kes itu, seramai 171 individu ditahan, termasuk 105 wanita berusia 17 hingga 64 tahun,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, hari ini.

Razarudin berkata, berdasarkan maklumat serta siasatan yang dilaksanakan, polis mengesyaki bahawa ‘Global Ikhwan Service and Business Holding’ (GISBH) melakukan kesalahan dalam kegiatan pemerdagangan orang dan kesalahan lain.

Turut mendedahkan modus operandi GISBH yang diperoleh berdasarkan risikan polis dan kenyataan mangsa, beliau berkata, mangsa mendakwa diajar, dididik untuk meliwat dan seterusnya diliwat oleh penjaga serta dipaksa meliwat penghuni kanak-kanak lain.

“Ini daripada risikan serta percakapan yang kita rakam. Mangsa yang tidak sihat tidak dibenarkan mendapat rawatan di klinik sehingga keadaan kritikal,” katanya menambah unsur eksploitasi agama juga dipercayai digunakan untuk menarik simpati dan sumbangan luar.

Beliau berkata, terdapat juga dakwaan kanak-kanak didera menggunakan objek seperti sudu panas sebagai bentuk hukuman apabila melakukan kesilapan.

Sehubungan itu, katanya, polis sudah membuka empat kertas siasatan dan satu daripadanya sudah mendapat arahan daripada Pejabat Peguam Negara untuk melaksanakan pertuduhan.

“Pertuduhan atas satu kertas siasatan ini adalah mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Lain-lain siasatan yang sudah dibuka adalah mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017, Seksyen 354 Kanun Keseksaan (Mencabul Kehormatan) dan beberapa seksyen lain,” katanya.

Sumber
BHarian
Komen
Loading...