
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyampaikan perutusan sempena Hari Guru 2025 menerusi pendekatan baharu dan kreatif dengan bergandingan bersama watak animasi popular tempatan, Ejen Ali.
Menerusi satu video istimewa yang menggabungkan elemen aksi nyata dan animasi 3D, Perdana Menteri tampil melangkah masuk ke dunia animasi Ejen Ali dalam usaha menyampaikan penghargaan kepada para pendidik atas jasa dan pengorbanan mereka membina masa depan negara.
“Seperti ejen-ejen terhebat, guru-guru kita sentiasa berjuang di medan ilmu untuk memastikan misi pendidikan tercapai. Saya bersama wira muda kita, Ejen Ali dan rakan-rakannya ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada seluruh warga pendidik yang telah mengajar, membimbing dan membentuk generasi Madani,” kata beliau dalam rakaman video tersebut.
Ucapan itu turut menyentuh tema sambutan Hari Guru tahun ini, “Guru Pemacu Reformasi Pendidikan”, yang menekankan peranan guru sebagai agen transformasi dalam sistem pendidikan negara.
Anwar menegaskan bahawa guru bukan sekadar penyampai ilmu, malah merupakan tonggak utama kemajuan bangsa dan wira yang membentuk jati diri rakyat Malaysia.
Kolaborasi antara Perdana Menteri dan watak Ejen Ali itu turut diadakan bersempena pelancaran filem Ejen Ali The Movie 2 (EATM2), yang dijadualkan ditayangkan di pawagam mulai 22 Mei ini, dengan tayangan awal pada 20 dan 21 Mei.
Kerjasama tersebut dilihat sebagai pendekatan mesra generasi muda, di samping menyemarakkan semangat menghargai peranan guru menerusi medium animasi yang dekat dengan kanak-kanak dan remaja.
Filem animasi penuh aksi itu diterbitkan oleh Primeworks Studios dan WAU Animation dengan kerjasama Komet Productions, dan membawa mesej perjuangan, integriti serta keberanian — nilai-nilai yang turut dikaitkan dengan peranan guru dalam dunia sebenar.