Ikuti Kami:

PMNC MY Fall 2025: 16 Pasukan Rebut Gelaran Juara dan Tiket ke PMSL SEA Fall 2025

PMNC MY Fall 2025: 16 Pasukan Rebut Gelaran Juara dan Tiket ke PMSL SEA Fall 2025

Seramai 16 pasukan terbaik negara bakal berentap dalam peringkat akhir PUBG MOBILE National Championship (PMNC) MY Fall 2025 kategori skuad, yang akan berlangsung hujung minggu ini bermula 1 hingga 3 Ogos.

Pertandingan yang memasuki fasa penentu ini menawarkan ganjaran keseluruhan berjumlah RM10,000, selain dua slot ke PUBG MOBILE Super League (PMSL) SEA Fall 2025. Pasukan yang muncul juara PMSL SEA pula akan mara ke pentas dunia, PUBG MOBILE Global Championship (PMGC) 2025.

Antara pasukan jemputan yang akan bersaing termasuk Sentry Symphony Esports (SSE), AZ Slumber (AZ), DX NSZ, Sdesa MYX (sebelum ini dikenali sebagai Doppel Ganker), serta dua pasukan terbaik musim lalu, MAQNA Esports Club (MEC) dan NEW ERA (NWE).

Kebanyakan pasukan dilaporkan melakukan rombakan pemain dalam usaha memburu gelaran juara dan menyesuaikan strategi dengan format terkini pertandingan.

Format SMASH RULE akan terus digunakan, di mana sasaran mata ditentukan berdasarkan jumlah mata pasukan tertinggi ditambah 10 mata. Pasukan pertama yang mencapai sasaran ini dan memenangi WWCD (Winner Winner Chicken Dinner) akan secara automatik ditabalkan sebagai juara.

Sementara itu, kategori solo yang berlangsung hujung minggu lalu menyaksikan kemenangan cemerlang HxKaitoGN yang menewaskan pemain profesional HBSyamitz untuk muncul juara dan membawa pulang sebahagian daripada wang tunai RM5,000.

Kejayaan itu membuka peluang besar kepada HxKaitoGN untuk direkrut pasukan profesional, mengikuti jejak langkah RAYYAN dan BRIAN yang kini bermain bersama BTR dan TODAK dalam PMSL SEA Summer 2025.

Beberapa peserta lain turut mencatat pencapaian membanggakan. MUHDZAKI, yang kembali bersaing buat kali kedua, naik ke kedudukan Top 4 berbanding Top 8 musim lalu.

Peserta wanita, YONGGIRL, mencuri tumpuan apabila menduduki tempat kedua pada Hari Pertama daripada 800 peserta dan menamatkan saingan di kelompok Top 8 secara keseluruhan.

PMNC kali ini mendapat sokongan daripada TECNO selaku Penaja dan Rakan Telefon Pintar Rasmi dengan model POVA 7 Ultra 5G, yang direka khas untuk prestasi permainan mudah alih berintensiti tinggi.

Menurut Pengurus Negara (Malaysia) Tencent Games, Eugene Chin, kehadiran bakat baharu yang menyerlah membuktikan potensi besar dalam arena e-sukan negara.

“Sungguh mengagumkan melihat bakat luar biasa dari seluruh negara. Dedikasi dan kemahiran mereka benar-benar terserlah, dan saya tidak sabar untuk menyaksikan mereka menguasai medan pertempuran,”

“Kami di Tencent Games ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada penaja hebat kami, TECNO, atas sokongan tidak ternilai dalam menjayakan kejohanan ini. Semoga berjaya kepada semua pemain,” katanya.

Peminat boleh menyaksikan kejohanan ini secara langsung melalui saluran rasmi PUBG MOBILE sepanjang tiga hari saingan berlangsung.

PMNC MY Fall 2025 dianjurkan oleh PUBG MOBILE. Untuk maklumat lanjut, layari platform rasmi PUBG MOBILE.

Komen
Loading...