PMKS Bawah RichWorks Catat Pertumbuhan Jualan 14 Peratus Tahun Lepas
- oleh MDaily Editor
- 9 Feb 2026 5:28 pm
Kumpulan usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di bawah bimbingan Richworks Consulting Group Sdn Bhd (RCG) berjaya mencatatkan nilai jualan terkumpul sebanyak RM3.3 bilion bagi tahun 2025
.
Pencapaian menerusi kumpulan pementoran eksklusif The Titan dan Titan Circle Plus++ (TCP++) itu menunjukkan peningkatan sebanyak 14 peratus berbanding RM2.9 bilion yang direkodkan pada tahun sebelumnya.
Mentor Usahawan Jutawan yang juga Pengasas RCG, Datuk Wira Dr Azizan Osman, berkata pertumbuhan positif itu adalah hasil kesediaan awal usahawan yang mengadaptasi bimbingan berstruktur serta strategi jelas dalam mendepani situasi ekonomi semasa.
Beliau berkata, meskipun berdepan cabaran ekonomi yang tidak menentu dan kuasa membeli yang lemah, tindakan tepat yang diambil oleh usahawan membolehkan prestasi perniagaan mereka kekal mampan.

”Peningkatan 14 peratus ini adalah satu petanda yang sangat baik. Untuk mengekalkan pertumbuhan (sustain) bukan sesuatu yang mudah, malah di peringkat negara sekalipun, mengekalkan pertumbuhan KDNK pada kadar empat hingga lima peratus adalah satu cabaran.
”Justeru, peningkatan dua angka ini membuktikan bahawa dengan karakter pemimpin yang bagus dan pemikiran strategik, perniagaan mampu pergi lebih jauh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Titan’s Inner Circle Meeting (ICM) – Titan Business Leadership Award 2026 di sini, hari ini.
Mengulas mengenai perancangan tahun 2026, Dr Azizan menyasarkan kumpulan usahawan di bawah ekosistemnya mampu melonjakkan nilai jualan sehingga RM4 bilion.
Katanya, sasaran itu akan didorong oleh peningkatan jumlah penyertaan usahawan dalam program pementoran eksklusif tersebut yang dijangka mencecah 350 orang tahun ini berbanding kira-kira 200 usahawan sedia ada.
”Misi kita adalah membantu lebih ramai usahawan, bukan sahaja untuk mencapai jualan RM1 juta, malah melonjak ke tahap RM10 juta hingga RM100 juta setahun melalui ekosistem ‘SME 360’ yang telah kami perkemaskan,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Azizan mendedahkan bahawa tiga syarikat di bawah bimbingan ‘Titan’ kini sedang dalam fasa transformasi untuk disenaraikan di Bursa Malaysia.
Beliau berkata, syarikat-syarikat terbabit termasuk PTTI Group dan The Raw kini sedang melalui proses audit dan rundingan bersama bank pelaburan sebelum dijangka membuat tawaran awam permulaan (IPO) pada tahun hadapan.
”Ini adalah satu kejayaan penting kerana kita mahu melahirkan lebih banyak syarikat bumiputera yang tersenarai di Bursa Malaysia.
”Misi kami adalah untuk membina sekurang-kurangnya 10 usahawan yang layak ke tahap itu sebagai inspirasi kepada usahawan lain untuk mengembangkan perniagaan mereka ke peringkat ASEAN dan Asia Barat,” katanya.
Majlis anugerah berkenaan menyaksikan pengiktirafan diberikan kepada 161 perniagaan melibatkan 198 penerima, termasuk penyampaian anugerah tertinggi, The Titan Grandeur Award kepada lapan usahawan berprestasi tinggi.




