Ikuti Kami:

PM9 Ismail Sabri Disiasat SPRM

PM9 Ismail Sabri Disiasat SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengesahkan bahawa siasatan sedang dijalankan terhadap bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, SPRM memaklumkan bahawa siasatan memberi tumpuan kepada “perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti semasa beliau menerajui negara.”

Siasatan ini dijalankan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Menurut kenyataan itu, Dato’ Sri Ismail Sabri telah diarahkan untuk membuat pengisytiharan harta pada 11 Disember 2024. “Pengisytiharan harta tersebut telah dibuat secara rasmi pada 10 Februari 2025,” jelas SPRM.

SPRM turut mendedahkan bahawa empat pegawai kanan yang pernah berkhidmat di bawah bekas Perdana Menteri itu telah ditahan.

Operasi penggeledahan di beberapa lokasi dipercayai sebagai “safehouse” berjaya menemukan wang tunai bernilai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing, termasuk Baht, Riyal, Pound Sterling, Euro, Swiss Franc, dan Yuan.

Selain itu, “16 kilogram jongkong emas tulen bernilai hampir RM7 juta turut dirampas,” kata kenyataan itu lagi.

Dato’ Sri Ismail Sabri telah hadir di ibu pejabat SPRM pada 19 Februari 2025 untuk memberikan keterangan. SPRM juga menyatakan, “Tidak menolak kemungkinan bahawa beliau akan dipanggil semula bagi membantu siasatan selanjutnya.”

Kenyataan itu turut menyebut bahawa hampir 10 saksi telah dikenal pasti dan akan dipanggil dalam masa terdekat.

SPRM memberi jaminan bahawa siasatan dijalankan secara “bebas, profesional, dan mengikut lunas undang-undang yang berkuat kuasa.”

“SPRM komited untuk memastikan bahawa sebarang bentuk salah laku berkaitan rasuah dan pengubahan wang haram ditangani dengan tegas demi kepentingan negara,” tegas kenyataan itu.

Foto: Utusan.

Komen
Loading...