PM mahu integriti penjawat awam setimpal dengan pengiktirafan diberi kerajaan
- oleh Mohd Indera
- 7 bulan lalu
PUTRAJAYA, — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu nilai integriti penjawat awam setimpal dengan pengikitirafan dan keyakinan yang diberikan kerajaan melalui pelarasan gaji di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
Berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri bagi bulan Mei di sini hari ini, beliau berkata justeru itu, penjawat awam diminta mengenal pasti individu yang merosakkan nama baik perkhidmatan awam.
“Jadi saya minta sementara kita beri satu anjakan yang agak radikal dari segi memberikan pengiktirafan dan habuan kepada penjawat awam, saya minta saudara-saudara untuk mengawal sendiri jabatan dan kawan-kawan supaya dikenal pasti orang-orang yang merosakkan nama baik penjawat awam.
“Ada golongan kecil yang rasuah, tak datang kerja, pelbagai masalah. Apakah harus kita beri layanan yang sama pada kumpulan kecil itu, jawab saya, tidak, kita tidak akan beri layanan sama,” katanya.
Turut hadir kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.
— BERNAMA