PM Arah Pinda Akta Hukuman Lebih Berat Pemandu Mabuk – “Sebagai Seorang Bapa, Saya Memahami Keresahan Rakyat”
- oleh Mohd Indera
- 4 tahuns lalu
Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sudah mengarahkan Kementerian Pengangkutan untuk merangka pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) supaya hukuman lebih berat dikenakan terhadap individu yang disabitkan dengan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.
Perdana Menteri berkata, arahan itu sebagai maklum balas kepada keresahan rakyat mengenai kes kemalangan akibat pemandu mabuk yang mana statistik polis sepanjang lima bulan pertama tahun ini sebanyak 21 kes membabitkan pemandu mabuk dicatatkan yang mana lapan mangsa meninggal dunia.
Katanya, perkara itu sangat membimbangkan kerana jumlah yang direkodkan dalam tempoh lima bulan tahun ini menghampiri keseluruhan 23 kes yang dicatatkan sepanjang tahun lalu.
“Saya memandang berat bilangan kes kemalangan jalan raya akibat pemandu mabuk yang dilihat semakin membimbangkan kebelakangan ini.
“Sebagai ketua kerajaan yang juga seorang bapa, saya memahami keresahan rakyat dan keluarga mangsa kemalangan yang mahu kerajaan bertindak tegas menangani perkara ini,” katanya dalam catatan di Facebook, hari ini.
Perdana Menteri yang kini dikuarantin 14 hari di kediamannya berkata, beliau difahamkan pindaan akta berkenaan akan dimuktamadkan pertengahan Jun depan sebelum dibawa ke Dewan Rakyat untuk dibentangkan pada persidangan akan datang.
Mengikut undang-undang sedia ada, individu yang memandu dalam keadaan mabuk boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.
Bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian pula, pesalah boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 dan penjara maksimum 12 bulan.
Pindaan ke atas Akta 333 itu katanya, diharap dapat menetapkan hukuman mandatori lebih berat dan setimpal terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kecederaan apatah lagi kematian kepada pengguna jalan raya yang lain.
“Saya juga berharap pindaan hukuman ini kelak akan memberi pembelaan kepada waris keluarga mangsa kemalangan yang terjejas akibat pemandu mabuk,” katanya.
BACA : Op Mabuk: Pesara Mengaku Salah Memandu Dalam Keadaan Mabuk