KAJANG, 3 Mei — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menunaikan solat Jumaat bersama rakyat di Masjid Kampung Sungai Merab di sini.
Beliau yang tiba di masjid itu pada 1.30 petang disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan pengurusan masjid serta jemaah yang hadir.
Anwar bersama hampir 1,000 jemaah, seterusnya mendengar khutbah bertajuk ‘Takwa dan Pekerjaan’ yang disampaikan Imam I masjid berkenaan Wan Mohd Firdaus Wan Hasan.
Isi khutbah antara lain menyeru umat Islam supaya sentiasa meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dalam melakukan urusan dunia dan berpandangan jauh dalam pekerjaan termasuk menjaga amanah serta berintegriti.
Khutbah juga mengingatkan jemaah untuk menjauhi perbuatan maksiat dan mungkar yang boleh menyebabkan kerosakan dan kemusnahan diri, keluarga dan masyarakat, selain sentiasa mengingati kematian dan bersedia dengan bekalan hari akhirat.
— BERNAMA