PM Anwar bentang isu pendigitalan, pengadaptasian AI pada mesyuarat kabinet esok
- oleh Mohd Indera
- 7 bulan lalu
PUTRAJAYA, — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membentangkan mengenai pendigitalan dan pengadaptasian kecerdasan buatan (AI) di dalam kerajaan semasa mesyuarat kabinet esok.
Beliau berkata ia adalah selari dengan komitmen kerajaan yang telah dipersetujui secara dasar, secara tidak langsung juga memudahkan urusan para pelabur yang berminat untuk melabur di Malaysia.
“Kita sudah setuju pada dasar. Esok dalam mesyuarat kabinet saya akan perkukuhkan…masih ada kadang-kadang keengganan atau pun kegusaran jabatan-jabatan kerana hendak control server masing-masing.
“Itu pemikiran tahun 1980-an. Kita mesti jelaskan kepada mereka dan saya jelaskan juga kepada Microsoft, Google, kita akan perluasakan melainkan (yang melibatkan) isu-isu keselamatan khusus. National security itu dikecualikan yang lain itu mesti (mengalami perubahan),” katanya ketika berucap pada perhimpuan bersama warga Kementerian Kewangan di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata beliau telah mengadakan perjumpaan dengan beberapa syarikat besar di dunia dan terkini dengan Microsoft yang telah mengumumkan pelaburannya di sini.
Nilai pelaburan yang dibuat itu besar dan bukan sahaja yang telah diumumkan tetapi juga hal-hal lain yang telah dirunding secara terperincinci antaranya soal latihan, kerjasama dengan universiti dan pusat penyelidikan, katanya.
“Semalam saya juga telah bermesyuarat dengan Google. Walaupun secara dalam talian tetapi ada komitmen mereka dan mereka berada dalam semangat yang sama.
“Dengan syarikat ACWA pula, syarikat gergasi tenaga yang bukan sahaja besar di Arab Saudi tetapi di dunia. Saya berbincang panjang bersama kementerian-kementerian yang lain dan ia mahu beberapa kepastian dari saya mengenai third party access dan on cloud computing,” katanya.
Menerusi hantarannya di Facebook, Anwar semalam berkata beliau telah mengadakan persidangan secara maya bersama Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan Alphabet dan Google, Ruth Porat.
Pada sesi tersebut, Ruth memaklumkan kemajuan rangka tindakan bidang yang boleh diperluaskan pihaknya di Malaysia berdasarkan penerangan sebelum ini oleh Perdana Menteri mengenai misi dan tumpuan kerajaan Malaysia, katanya.
Beliau juga berkata perbincangan mereka turut menyentuh kepentingan kerjasama dan dukungan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) berkaitan sektor pendidikan, kesihatan dan pertanian.
— BERNAMA