PM Anwar Arah KPKM Segerakan Pemulihan Bekalan Beras Putih Tempatan
- oleh Mohd Indera
- 6 hari lalu

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk segera melaksanakan usaha pemulihan bekalan beras putih tempatan di pasaran.
Pemulihan ini sedang dijalankan secara berfasa bagi memastikan kestabilan bekalan untuk rakyat.
Anwar turut mengarahkan kementerian yang terlibat agar memberikan maklumat terkini mengenai perkembangan pemulihan kepada rakyat secara berkala.
“Perdana Menteri mengambil maklum isu bekalan beras putih tempatan yang terus menjadi perhatian di negara ini. Oleh itu, beliau telah mengarahkan KPKM untuk menyegerakan usaha pemulihan bekalan di pasaran.
“Insya-Allah, pemulihan ini sedang dilaksanakan secara berfasa, dan Perdana Menteri mahu kementerian yang berkaitan memberi makluman perkembangan kepada rakyat secara berterusan,” jelas Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, dalam sesi Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada Isnin.
Tindakan segera ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan rakyat mendapat akses kepada bekalan beras putih tempatan yang mencukupi.
Usaha ini juga selaras dengan dasar Kerajaan Madani yang menitikberatkan kesejahteraan rakyat dan kestabilan bekalan makanan di negara ini.