Ikuti Kami:

Plong! Lancar Single ‘Gadis Shampoo’

Plong! Lancar Single ‘Gadis Shampoo’

Kumpulan rock new wave tempatan, Plong!, kembali mewarnai persada muzik tanah air dengan pelancaran single terbaharu mereka berjudul ‘Gadis Shampoo’.

Lagu yang membawakan elemen ringan dan bertenaga itu merupakan single kedua kumpulan tersebut sejak bernaung di bawah label rakaman terkemuka, Luncai Emas.

Plong! dalam satu kenyataan berkata, ‘Gadis Shampoo’ mengangkat tema tarikan kecil dalam kehidupan seharian yang sering dialami oleh masyarakat namun jarang diperincikan dalam bentuk karya muzik.

“Lagu ini mencerminkan pendekatan kami dalam berkarya iaitu spontan, jujur dan penuh rasa hidup. Ia dipacu oleh groove yang mudah dihayati serta karakter bunyi yang sedikit berbeza daripada kebiasaan,” menurut kenyataan itu.

Kumpulan yang ditubuhkan oleh Yayat Nasir (gitar) dan Akmal Borhan (bass) ketika menuntut di Malaysian Institute of Art itu kini turut dianggotai oleh Fahmi Samsudin (vokal) dan Yasin Nasir (keyboard).

Muzik Plong! dikenali dengan gabungan unik elemen art rock eksperimental, disco, punk dan reggae yang disatukan dalam struktur new wave.

Mengulas mengenai tajuk lagu tersebut, Plong! menjelaskan ‘Gadis Shampoo’ merupakan satu metafora kepada pesona seseorang yang ringkas namun meninggalkan kesan mendalam melalui memori dan bau.

Karya berkenaan dihasilkan secara organik melalui sesi jamming yang santai, sekali gus mengekalkan estetika bunyi ‘mentah’ yang menjadi identiti kumpulan itu.

Selain boleh didengari di semua platform penstriman digital, video muzik ‘Gadis Shampoo’ yang diterbitkan oleh Krew Filem Sek Kito turut dilancarkan di laman YouTube dengan menampilkan konsep visual D-I-Y yang nostalgik.

Plong! sebelum ini mula mencuri tumpuan peminat muzik alternatif menerusi keunikan nama mereka yang diinspirasikan daripada bunyi logam berlaga, selain membawa maksud ‘tenang’ atau ‘damai’ dalam bahasa Jawa.

Komen
Loading...