Plaza Shah Alam Lancar Kempen ‘Raya Bersama, Syawal Bermakna’, Raikan Anak Yatim
- oleh MDaily Editor
- 19 Feb 2026 12:42 pm
Plaza Shah Alam melancarkan kempen “Raya Bersama, Syawal Bermakna” bagi menyemarakkan sambutan Ramadan dan Aidilfitri tahun ini dengan memfokuskan kepada semangat tradisi, kekeluargaan dan keprihatinan sosial.
Kempen yang berlangsung dari 26 Februari hingga 12 Mac 2026 itu turut menyaksikan komitmen berterusan pusat beli-belah berkenaan dalam menyokong kebajikan komuniti menerusi pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Antara pengisian utama kempen adalah Majlis Berbuka Puasa bersama 55 anak yatim dan asnaf daripada Pertubuhan Kebajikan Ulul Azmi, Tasik Putri, Rawang yang akan diadakan di Warung Koppi’s 70s, Plaza Shah Alam.
Pihak pengurusan Plaza Shah Alam dalam satu kenyataan berkata, penganjuran majlis itu bertujuan menyemai rasa kebersamaan serta berkongsi kegembiraan Ramadan dalam suasana penuh kasih sayang.
“Usaha ini bukan sahaja bagi memeriahkan sambutan perayaan, malah mengukuhkan hubungan dengan komuniti setempat serta mengangkat nilai tradisi dalam persekitaran pusat beli-belah moden,” menurut kenyataan itu.

Bagi memeriahkan suasana, pengunjung bakal dihiburkan dengan pelbagai aktiviti mingguan termasuk persembahan kebudayaan seperti Senandung Irama Klasik, Seni dan Kraf, serta Lenggok Beralun Tarian Tradisional.
Kemuncak acara, “Rentak Syawal”, akan menampilkan barisan artis jemputan terkenal termasuk Amir UK’s, kumpulan nasyid Raihan, dan Daqmie bagi menghiburkan para pelanggan.
Selain itu, program edaran bubur lambuk turut diadakan sebagai simbolik semangat berkongsi rezeki sepanjang bulan mulia ini.
Sebagai tanda penghargaan, Plaza Shah Alam turut menawarkan ganjaran eksklusif buat pengunjung yang membeli-belah di premis tersebut, antaranya pemberian sampul raya, buku nota, serta set cawan dan piring edisi terhad.
Orang ramai dijemput hadir memeriahkan kempen berkenaan bersama keluarga dan rakan-rakan bagi merasai pengalaman sambutan Syawal yang lebih bermakna dan sarat dengan nilai kemanusiaan.




