Ikuti Kami:

Planworth Sasar Salur Pembiayaan RM1 Bilion Pacu Ekonomi PKS Tahun Ini

Planworth Sasar Salur Pembiayaan RM1 Bilion Pacu Ekonomi PKS Tahun Ini

Syarikat penyedia pembiayaan tunai, Planworth Global Factoring (Planworth) menyasarkan untuk menyalurkan pembiayaan sehingga RM1 bilion tahun ini bagi memperkasa ekonomi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di negara ini.

​Sasaran itu merupakan peningkatan signifikan berbanding jumlah pembiayaan tahun lalu yang mencecah RM700 juta, sekali gus membuktikan komitmen syarikat dalam memastikan aliran tunai dalam pasaran kekal kompetitif.

​Ketua Pegawai Eksekutif Planworth Global Factoring, Dato’ Andy Kuek, berkata syarikatnya berperanan sebagai ‘jambatan’ atau pemudah cara bagi usahawan yang memiliki kontrak namun berdepan kekangan modal pusingan untuk memulakan kerja.

​”Tahun lalu kita membiayai hampir RM680 juta dan tahun ini kita bajetkan untuk menyalurkan RM1 bilion. Dalam ekonomi, lebih banyak pengusaha meminjam daripada kita, lebih banyak duit masuk ke dalam sistem ekonomi dan setiap lapisan masyarakat akan mendapat manfaatnya.

​”Duit perlu berpusing dalam masyarakat untuk menjana ekonomi. Justeru, kita harap sasaran RM1 bilion ini dapat membantu lebih 1,000 syarikat tahun ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri Planworth 2026 di Dewan Merdeka, WTCKL, di sini, hari ini.

​Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Seri Dr Ahmad Maslan dan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), YB Datuk Mohamad bin Alamin.

​Mengulas lanjut, Andy menjelaskan bahawa Planworth bersifat pelengkap (complementary) kepada agensi kerajaan seperti MARA, Tekun Nasional dan SME Bank, bukannya sebagai pesaing.

​Beliau menekankan bahawa Planworth lebih memfokuskan kepada pembiayaan berasaskan kontrak daripada syarikat kukuh, agensi kerajaan atau Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) tanpa mengira jenis industri.

​”Sama ada industri masakan, pembekalan mahupun IT, asalkan mereka mempunyai kontrak, kita akan bantu dari segi modal pusingan. Kami lebih bersifat ‘hands-on’ dan tidak sekompleks bank konvensional kerana kami memahami tekanan masa yang dihadapi kontraktor untuk memulakan kerja dalam tempoh singkat,” jelas beliau.

​Setakat ini, sektor pengurusan fasiliti merupakan peminjam terbesar dengan nilai kontrak mencecah RM330 juta, di mana Planworth menyediakan modal kerja melebihi RM20 juta bagi membantu kelancaran operasi syarikat terlibat.

​Menyentuh mengenai ketidaktentuan ekonomi global akibat konflik antarabangsa, Andy mengakui kenaikan harga minyak dunia akan memberi kesan berantai kepada kos bahan mentah dan barangan keperluan.

​”Apabila harga minyak naik, kos baja dan pengangkutan juga akan meningkat, sekali gus mengurangkan kuasa beli pengguna. Di Planworth, kami lebih berhati-hati dan banyak membimbing peniaga.

​”Kami akan meneliti setiap kontrak bagi memastikan usahawan tersebut mampu menjana keuntungan di sebalik kenaikan kos, sekali gus menyelamatkan syarikat daripada kegagalan pelaksanaan kontrak yang boleh merosakkan rekod prestasi mereka,” katanya.

​Beliau yang berpengalaman luas dalam perbankan antarabangsa turut menzahirkan kesyukuran kerana dapat membawa balik modal dari luar negara untuk dilaburkan semula dalam memacu ekonomi Malaysia, khususnya bagi menyokong usahawan Bumiputera.