Ikuti Kami:

PKPP : Majlis Perkahwinan, Majlis Hari Jadi Dibenar 1 Julai

PKPP : Majlis Perkahwinan, Majlis Hari Jadi Dibenar 1 Julai

Kerajaan  mengumumkan kebenaran penganjuran majlis perkahwinan mulai 1 Julai, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Selain itu, beliau berkata majlis pertunangan, majlis berkaitan keagamaan seperti tahlil, akikah, doa selamat serta majlis sambutan ulang tahun perkahwinan dan hari lahir turut dibenarkan.

“Majlis boleh diadakan selama tiga hingga lima jam dan kapasiti kehadiran tidak melebihi 250 orang pada satu-satu masa serta tertakluk kepada saiz tempat majlis.

“Bufet tidak dibenarkan, bagaimanapun kita boleh melonggarkan walaupun ada bufet tapi dihidangkan oleh pramusaji,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata penganjur perlu mengikut operasi standard (SOP) seperti memeriksa suhu badan tetamu, pemakaian pelitup separuh muka serta merekod kehadiran melalui aplikasi MySejahtera atau secara manual.

Selain itu, beliau berkata pintu keluar dan masuk bagi sesuatu majlis perlu diasingkan bagi mengelak kesesakan hadirin.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan bakal penganjur majlis tidak meneruskan hasrat tersebut sekiranya mendapati sukar untuk mengawal keadaan dan kehadiran ramai orang.

Sumber : Bernama.

Foto : Media Sosial.

 

Komen
Loading...