Ikuti Kami:

PKPP: Bas Ekspres Dibenar Beroperasi Mengikut SOP

PKPP: Bas Ekspres Dibenar Beroperasi Mengikut SOP

Bas ekspres dibenar beroperasi dengan kapasiti penuh dan tanpa had masa mulai hari ini, tetapi wajib mengikut syarat prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan membenarkan bas ekspres beroperasi tanpa had masa berikutan operasi mereka banyak membabitkan perjalanan malam sehingga ke subuh.

Bagaimanapun, katanya, setiap penumpang perlu didaftarkan melalui aplikasi MySejahtera atau secara manual.

“Jika mereka (pengusaha bas) tidak mendaftar penumpang melalui aplikasi MySejahtera, mereka mesti mengambil nama dan nombor telefon setiap penumpang bagi tujuan pengesanan kontak sekiranya ada perkara berkaitan COVID-19,” katanya.

Sebelum ini, ramai pengusaha bas ekpres memohon kerajaan memberi kelonggaran tiada penjarakan sosial dalam bas ekspres bagi mengelak lebih banyak kerugian terpaksa ditanggung mereka.

Sebelum ini, setiap bas boleh membawa sehingga 48 penumpang, namun sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, kerajaan menetapkan hanya boleh membawa 50 peratus penumpang iaitu 24 penumpang sahaja.

Foto : Berita Harian

Komen
Loading...