PKP: JKM telah edar lebih 300,000 bakul makanan utuk manfaat 1.34 juta isi rumah
- oleh Mohd Indera
- 4 tahuns lalu
PUTRAJAYA, 28 April — Sebanyak 336,916 bakul makanan telah diagihkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang memberi manfaat kepada 1.34 juta isi rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) setakat ini, kata Ketua Pengarah JKM Zulkifli Ismail.
“Jumlah ini tidak termasuk sumbangan badan bukan kerajaan (NGO), swasta, individu dan lain-lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sepanjang tempoh PKP, JKM dipertanggungjawabkan untuk menyelaras pengurusan dan pengagihan bantuan bakul makanan dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) kepada rakyat yang memerlukan di seluruh negara.
Zulkifli berkata bakul makanan tersebut disediakan melalui sumber peruntukan Kementerian Kewangan dan dana Tabung COVID-19.
“Bantuan bakul makanan kepada golongan yang memerlukan akan diteruskan sepanjang tempoh PKP,” katanya.
Pihak yang memerlukan bantuan khususnya mereka yang belum pernah menerima sebarang bantuan makanan, aduan boleh dibuat kepada Bilik Gerakan JKM di talian 03-83231996 atau JKM Negeri (JKMN) dan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) berhampiran dan melalui Talian Kasih 15999, katanya.
Bermula fasa empat pelaksanaan PKP esok, Zulkifli berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan JKM telah memperkemas sistem penyampaian bantuan bakul makanan agar urusan pengagihan dapat dilaksanakan dengan lebih lancar.
Antara barangan keperluan asas yang diedarkan adalah beras, minyak masak, gula, tepung gandum, susu pekat, garam, mihun, ikan kering atau bilis, kicap, sos cili, sardin, teh atau kopi, biskut, rempah ratus dan cili kering, katanya.
“Sekiranya berlaku kekurangan stok barangan seperti yang disenaraikan atau atas permintaan pihak berkuasa tempatan dan golongan sasar khususnya di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), JKMN dan PKMD akan membuat penggantian barangan yang bersesuaian,” katanya.
Bagi sumbangan yang disalurkan oleh pihak lain seperti NGO, syarikat swasta dan individu, beliau berkata peranan JKM adalah untuk menerima, memeriksa dan seterusnya mengagihkan sumbangan barangan kepada golongan yang memerlukan.
“Jenis, nilai dan kuantiti bantuan makanan serta kumpulan sasar penerima adalah tertakluk kepada budi bicara para penyumbang,” katanya.
— BERNAMA