‘Pistol & Bunga’ Tawar Pentas Kolaborasi Pelajar ASWARA Bersama Ikon Rock
- oleh Mohd Indera
- 9 Sep 2025 11:39 am

Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) melakar sejarah apabila menjadi lokasi pertama penganjuran program Siri Jelajah Universiti Pistol & Bunga, sebuah inisiatif yang memberi peluang kepada pelajar untuk bergandingan bersama ikon muzik rock tanah air.
Kerjasama antara Fakulti Pengurusan Seni Budaya & Warisan ASWARA dan Neo Gendang Records ini menyaksikan dua legenda rock, Edrie Hashim serta kumpulan wanita Candy Malaysia, tampil bukan sekadar sebagai penghibur tetapi juga sebagai mentor kepada generasi baharu.
Pensyarah Fakulti Pengurusan Seni Budaya & Warisan, Encik Wan Mohamed Syamil Wan Shamsul Anuar, berkata program ini sebahagian daripada kursus Pengurusan Produksi Muzik yang dirangka khas untuk mendedahkan pelajar kepada dunia sebenar pengurusan acara.
“Fakulti kami melahirkan tenaga belakang tabir, pengurus pentas, produksi dan promosi. Projek ini membolehkan pelajar belajar secara langsung mengendalikan sebuah acara berskala industri, bermula daripada promosi, teknikal hinggalah kepada pengurusan artis. Ini pengalaman yang tidak ternilai,” katanya.
Sementara itu, Edrie Hashim menegaskan pemilihan ASWARA sebagai lokasi pertama adalah untuk mendekatkan muzik rock tempatan kepada generasi muda.
“Jurang generasi semakin ketara. Inilah masa untuk kita ‘reach out’ kepada pelajar universiti yang masih segar dan penuh idea baharu. Kami mahu mereka rasa pengalaman sebenar berada dalam produksi muzik profesional,” katanya.
Beliau turut berkongsi bahawa konsert pada 20 September 2025 di Orchestra Hall, ASWARA akan menampilkan Candy sebagai teraju utama, selain penampilan khas beliau menerusi karya solo instrumental dan medley lagu popular.
“Selain Candy, saya sendiri akan bawakan lagu-lagu instrumental dan mungkin ada medley daripada karya lama seperti Iris, Suralaya Dalam D Major atau Ampunkan Aku. Ada juga kejutan lain, bergantung kepada kreativiti pelajar dan idea mereka. Kami mahu jadikan konsert ini bukan sekadar hiburan tetapi satu bentuk eksperimen kreatif,” jelasnya.
Menurut Edrie, persembahan kali ini bakal menampilkan konsep lebih menyeluruh dengan elemen visual, pergerakan pentas dan interaksi langsung bersama pelajar.
“Kita mahu pentas ini lebih hidup, bukan hanya muzik semata-mata. Saya sendiri teruja untuk lihat bagaimana pelajar ASWARA mencorakkan persembahan dengan kreativiti mereka sama ada melalui visual, bunga api kecil atau gabungan dengan koir dan seksyen rentas muzik. Itu yang menjadikannya unik,” katanya.
Tiket untuk menyaksikan persembahan ini dijual pada harga RM50 bagi orang awam dan RM20 untuk pelajar.
Tiket boleh didapati di https://form.jotform.com/252501248433450 atau hubungi Mas (+60182647443) / Nurina (+60177184577).
Program Pistol & Bunga bukan sahaja bertujuan menghidupkan kembali semangat muzik rock tempatan, malah menjadi medan untuk pelajar ASWARA membuktikan kebolehan mereka sebagai tulang belakang produksi.
Siri jelajah ini akan diteruskan ke UiTM Shah Alam pada Januari 2026, dengan perancangan untuk ke universiti lain termasuk Universiti Malaya (UM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Foto Oleh: Papadin.