Ikuti Kami:

“Pintu-Pintu Surga” Mengangkat Isu Poligami Dari Perspektif Berbeza

“Pintu-Pintu Surga” Mengangkat Isu Poligami Dari Perspektif Berbeza

Filem drama keluarga dan keagamaan terbaru, Pintu-Pintu Surga, bersiap sedia untuk menemui penonton di pawagam Malaysia bermula 3 April 2025, sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Dihasilkan oleh Dakaramira Studio dan diedarkan oleh Horizon Film Entertainment, filem ini menjanjikan satu naratif yang mendalam mengenai poligami, pengorbanan, dan cabaran hidup.

Diarahkan oleh Adis Kayl Yurahmah dan diterbitkan oleh Dwi Ilalang, Pintu-Pintu Surga menampilkan perspektif berbeza dalam menggambarkan isu poligami, dengan mengangkat sudut pandang orang ketiga serta anak yang menghidap ADHD.

Filem ini dijangka memberikan pengalaman emosional yang menyentuh hati serta mencabar pemikiran penonton mengenai kehidupan berkeluarga.

Dibarisi pelakon berbakat seperti Arya Saloka, Susan Sameh, Agla Artalidia, Edwar Akhbar, dan Unique Priscilla, filem ini mengisahkan perjalanan hidup Latifah (lakonan Susan Sameh), seorang ibu yang kehilangan suami dan perlu membesarkan anaknya yang menghidap ADHD sambil menguruskan yayasan pendidikan peninggalan suaminya.

Dalam menghadapi pelbagai cabaran, Latifah bertemu kembali dengan bekas teman lelakinya, Arman (lakonan Arya Saloka), yang bersedia membantunya.

Namun, ketika hubungan mereka kembali akrab, Latifah berdepan dengan dilema besar apabila Arman melamarnya walaupun sudah berkahwin dengan Widya (lakonan Agla Artalidia).

Filem ini membawa penonton menyelami dilema Latifah – antara mempertahankan prinsipnya atau menerima kehidupan bermadu demi mendapatkan kembali kebahagiaan yang pernah hilang.

Melalui penceritaan yang mendalam dan penuh emosi, Pintu-Pintu Surga menampilkan pergelutan antara cinta, kepercayaan, dan realiti kehidupan.

Dengan tema yang kuat dan lakonan yang mantap, filem ini dijangka menjadi antara tontonan wajib bagi peminat filem bergenre keluarga dan keagamaan pada tahun ini.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Pintu-Pintu Surga di pawagam bermula 3 April 2025.

Komen
Loading...